Rekayasa pembohongan yang entah apa-apa 


Jahabar Sadiq

Kita akan lihat lebih banyak kemarahan yang dibuat-buat, seperti meminta Orang Asli menjaga kad pengenalan mereka takut-takut disalah guna dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2019.

KEKECOHAN yang dibuat-buat, seperti kata seseorang di Twitter, barangkali bisnes Malaysia terbesar selepas perkhidmatan, pembuatan dan pelancongan. 

Bukannya susah untuk merekayasa kekecohan. Lampu dalam bentuk salib di sebuah bangunan di Pulau Pinang. Daging wagyu yang disalah anggap daging babi dalam majalah penerbangan Malaysia Airlines. 

Dalam kedua-dua kes ini, tampaknya apa yang jadi kemarahan itu ialah apa yang kita fikir kita lihat. Nampak macam bodoh tapi realitinya tidak begitu. 

Inilah kekecohan yang dibuat-buat – membesarkan hal-hal yang kecil, setitik air jadi selaut. 

Untuk membangkitkan syak wasangka dan keraguan, menyebar kebencian dan mencetuskan kekacauan. 

Ini tentunya tidak hanya berlaku di Malaysia. Di Amerika Syarikat minggu lalu, media sosial riuh dengan konfrontasi hangat antara seorang pribumi Amerika dan kumpulan pelajar Katolik yang memakai topi besbol bertulis slogan kempen Presiden Donald J Trump “Make America Great Again”. 

Apabila gambaran sebenar ternampak beberapa hari kemudian, sebenarnya ada benda yang lain. Media sosial hanya mengambil secebis daripada keseluruhannya, tanpa konteks dan perspektif, dan membesar-besarkan hal yang sepele. 

Baik di Amerika mahupun di Malaysia, kekecohan itu tercetus daripada konfrontasi dan pertembungan antara konservatif dan liberal, diaduk dengan mereka yang berpegang pada tatasusila, mereka yang merasakan diri lebih baik dari orang serta mereka yang perkauman. 

Begitu juga dalam soal peguam kerajaan dan swasta menari bersama peguam dan ahli politik dalam sebuah majlis makan malam tertutup tetapi klip video memainkan peranan besar dalam bisnes memulakan kekecohan ini. 

Tidak kisah di belahan politik atau agama mana pun seseorang itu berdiri, termasuk kalau di tengah sekali pun. Tidak boleh kalau dibuat oleh orang yang kita tidak suka. Tidak boleh kalau dibuat di bawah kerajaan yang kita tidak sokong. 

Jadi, kita mencetuskan kemarahan dan menyebarkan kebencian untuk membentuknya jadi sesuatu yang lebih besar yang boleh menguntungkan masa depan kita. Seperti kata pengarang Jonathan Swift, pembohongan melayang dan kebenaran menyusul terjingkit-jingkit kemudian. 

Pada masa itu, sudah terlalu lambat. Kemarahan sudah melata dan kita berdepan dengan gesaan untuk mengambil tindakan, untuk memohon maaf dan sebagainya. Mereka yang mencetuskan kekecohan itu beruntung dan dilihat sebagai juara kaum atau masyarakat. 

Memang mudah untuk meminta orang berhati-hati. Memang mudah mengharapkan orang lebih bijaksana. Tetapi kemarahan itu mengundang emosi dan kehendak kita untuk melakukan sesuatu yang mencerminkan maruah kita sebagai sebahagian masyarakat atau kelompok yang lebih besar. 

Kita akan lihat lebih banyak kemarahan yang dibuat-buat seperti ini, termasuk penipuan ala Trump seperti meminta Orang Asli menjaga kad pengenalan mereka takut-takut disalah guna dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands. 

Spekulasi seperti itu memacu kemarahan yang direkayasa, sama seperti dakwaan lebih 40,000 rakyat Bangladesh mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13. Kekecohan yang dibuat-buat bukan sesuatu yang baru di Malaysia. 

Tetapi kita perlu membetulkannya dan menghentikan kebodohan ini sekarang. 

Atau, kita tidak akan dapat membina sebuah negara yang diasaskan dengan kepercayaan, kesaksamaan dan kesamarataan. Kita akan jadi bangsa telinga nipis yang menunggu masa untuk hilang sabar atas setiap pembohongan. – 23 Januari, 2019.

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen