SERANGAN politik bersiri yang dipelopori Menteri Kewangan lim Guan Eng terhadap beberapa buah negeri yang tidak sealiran dengan kerajaan persekutuan mutakhir ini amat tidak wajar sama sekali.
Serangan terbaru terhadap Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur adalah sesuatu yang bermotifkan politik dan mempengaruhi keputusan pilihan raya kecil Cameron Highlands.
Lim tidak sewajarnya menggunakan medium dan kedudukan beliau untuk melancarkan serbuan fakta ekonomi yang merosakkan hubungan negeri dan pusat.
Ini bukan cara ahli politik budiman. Ini taktik ugut ala kongsi gelap yang diperkenalkan Kementerian Kewangan.
Saya kesal ini budaya politik Malaysia Baharu yang kurang adab dan tertib. Malang untuk Malaysia mempunyai Menteri Kewangan yang menggunakan kedudukan untuk mengatur serangan politik; berbanding menjaga kesejahteraan rakyat.
Di dalam konsep federalisme fiskal di Malaysia, isu ini wajar diselesaikan secara musyawarah dan bukannya serbuan politik begini. Lim perlu berhenti mengurus Perbendaharaan Negara ala kongsi gelap - dan menghormati kedudukan dan keperluan negeri-negeri. Tumpu kesejahteraan rakyat. Bukannya bawa politik peras ugut.
Jangan lupa dengan fakta bahawa kepimpinan Lim selaku Ketua Menteri Pulau Pinang juga pada suatu ketika dibantu dengan ihsan dan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Ini semangat Federalisme yang unggul - bukan sebaliknya.
*Reezal Merican Naina Merican merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas merangkap Ahli Majlis Tertinggi Umno*
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan