WALAUPUN cabaran dikemukakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada Putrajaya tidak sampai mahu kemerdekaan sendiri, pendirian tegas mereka jelas: “kami boleh tadbir Sarawak dengan atau tanpa kerjasama pusat”.
Pada majlis pelancaran GPS di Kuching malam Sabtu lalu, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg dengan tegas mengatakan yang Sarawak akan bekerjasama dengan kerajaan pusat selaras dengan semangat persekutuan tetapi tidak akan tunduk sehingga menjejaskan hak dan kepentingan negeri.
“Kami boleh bekerja dengan sesiapa sahaja asalkan mereka hormat hak Sarawak,” katanya.
PBB adalah parti utama gabungan empat parti yang membentuk GPS- tiga parti lain adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Progressive Democratic Party (PDP)- semuanya parti asal Sarawak.
Keempat-empat parti itu adalah komponen Barisan Nasional sebelum ini, tetapi keluar selepas BN kalah pada pilihan raya umum Mei lalu.
Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian dalam mendesak status Sarawak sebagai salah sebuah wilayah yang membentuk Malaysia dikembalikan, turut mencadangkan nama Dewan Undangan Negeri Sarawak ditukar kepada Parlimen Sarawak.
Manakalan Presiden PDP Tiong King Sing yang juga ahli Parlimen Bintulu berkata, memandangkan Putrajaya berdolak dalih memenuhi tuntutan royalti minyak dan gas daripada 5% kepada 20%, negeri patutnya menaikkan cukai jualan petroleum dan produk petroleum daripada 5% kepada 10%.

Tindakan Sarawak mengenakan cukai jualan petroleum pada November lalu susulan permintaan kenaikan royalti minyak tidak diendah Putrajaya menimbulkan kemarahan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kemarahan Lim bersebab, cukai itu boleh menyebabkan Petronas kerugian RM3 bilion setahun.
Abang Johari yang juga ketua menteri Sarawak pula secara terus terang berkata, Sarawak masih boleh membangunkan negeri itu walaupun Putrajaya melupakan tanggungjawab kewangannya.
“Jadi biarlah. Mereka boleh batalkan jambatan Batang Lupar, jambatan di Sungai Rambungan, Igan dan Kemena,” katanya merujuk kepada jambatan utama dalam projek lebuh raya kedua negeri yang menghubungkan Kuching dan Miri.
BN sebelum ini berjanji menampung 50% kos jambatan walaupun projek tersebut dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri.
“Kita tak akan merayu. Kita bukan pengemis,” kata Abang Johari.
Beliau mengakui yang hubungan dengan PH di Putrajaya bukan mudah, misalnya dalam situasi “penentangan keras” terhadap tuntutan Sarawak untuk kenaikan royalti minyak dan gas.
“Malah Petronas heret Sarawak ke mahkamah kerana isu pemilikan minyak dan gas di Sarawak.
“Anda mahu lawan, kami akan lawan,” katanya kepada ribuan hadirin di Stadium Perpaduan, Petrajaya.
“Orang Sarawak sekarang bijak. Kami bukan bodoh.”

Presiden PRS James Masing pula mengisytiharkan Sarawak tidak akan lagi berdiam diri tentang sumber berharga itu.
Katanya, rekod Petronas menyatakan pada 2017, lapangan minyak Sarawak mengeluarkan 800,000 tong minyak setiap hari dengan nilai RM192 juta sehari pada harga AS$60 per tong menghasilkan keuntungan sebanyak RM70 bilion pada tahun itu, sedangkan Sarawak hanya menerima royalti RM2 bilion sahaja.
“Mana duit selebihnya? Mineral itu adalah aset paling berharga. Rakyat dan negara berperang untuk menuntut kekayaan itu. Adakah kita (berperang dan melawan)? Tidak! Orang Sarawak lemah lembut.
“Malangnya, kelembutan kita tak dihargai. Aset kita dirompak depan mata kita, dan akhirnya kita benarkan diri kita dipijak, disalah guna dan ditikam dari belakang,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, Sarawak bukan jajahan Malaya, dan sudah tiba masanya penduduk negeri itu bangkit menuntut hak.
“Kita tak lagi boleh berdiam diri. Mari kita bangkit dan memperjuangkan hak kita. Sudah cukup 55 tahun dilayan seperti dijajah oleh rakan rakyat Malaysia dari Malaya.
“Kita bukan jajahan Orang Malaya.” – 21 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan