Ketika filem tidak menawarkan seni untuk manusia


Haris Hauzah

APAKAH yang sebenarnya boleh ditawarkan oleh filem sebagai seni kepada kita?

Adakah filem hanya hiburan bagi orang kaya menguji kuasa kapitalisme mereka sebagai pemodal untuk jadi lebih kaya dan popular? Atau filem hanyalah bahan sindiran untuk kita mentertawakan kebodohan sendiri akibat sikap enggan memahami erti dan makna seni bercerita?

Filem sejak sekian lama melalui era perkembangan yang sebenarnya cukup menakjubkan. Bermula sebagai produk makmal pada 1895, filem sejak itu memperlihatkan potensinya sebagai produk hiburan paling berkuasa sehingga berjaya menjadi medium hiburan yang sangat berpengaruh terhadap manusia.

Filem hakikatnya hanyalah kepingan gambar-gambar perasaan yang diadun bersama bunyi-bunyi emosi lalu disusun dalam suatu garis naratif berstruktur.

Ia hasilan seni visual yang dikuasai elemen estetika serta berkeupayaan memberikan kesan melalui cara dan bahasanya yang tersendiri – penuh puitis dengan segala macam imaginatif yang sarat dengan rasa penuh makna.

Begitulah filem sebetulnya.

Pada 1972, Jean Luc Godard dan Jean Pierre Gorin mengarahkan sebuah filem bersama berjudul Tout Va Bien. Melalui filem itu Godard dan Gorin pada babak pembukaannya sengaja mencampakkan fikiran penonton ke suatu ruang penuh imaginatif yang amat sukar diduga.

Mulanya adalah sebuah latar hitam gelap. Penonton diperdengarkan dengan suara lelaki yang penuh cita-cita: “Saya mahu buat filem.”

“Awak perlukan duit,” balas seorang gadis penuh selamba.

Secara tiba-tiba visual helaian cek demi cek memenuhi keseluruhan bingkai babak buat beberapa ketika berikutnya.

Mary Jane Oliver dalam sebuah kumpulan puisinya bertajuk Evidence menulis: “Simpan sedikit ruang dalam hatimu buat sesuatu yang tidak pernah dapat terbayangkan.”

Barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Oliver, penyajak Amerika pemenang hadiah Pulitzer yang pada Khamis lalu berangkat selamanya meninggalkan kita akibat kanser.

Pada tahun yang sama iaitu pada 1972, dunia perfileman Malaysia ketika itu berjaya menjadikan filem sebagai suatu komoditi hiburan yang memeriahkan kehidupan ramai manusia.

Walaupun tidak setanding Hollywood, paling tidak perfileman Malaysia kala itu ada kilang pengeluar dan industrinya sendiri. Telah ada sejumlah pekerja dan pemainnya sendiri.

Namun kita masih sangat jauh ketinggalan dari aspek estetika visual dalam memaknakan penceritaan filem sebagaimana yang dilakukan oleh Godard dan Pierre melalui Tout Va Bien.

Pada sepanjang tahun itu, hanya sebuah saja filem yang masih kita kenang dan tetap menontonnya hari ini dengan gelak ketawa iaitu Laksamana Do Re Mi yang disifatkan sebagai “bencana dan cerminan keputusan asa serta kecewa P. Ramlee” oleh Hassan Abd Muthalib dalam bukunya Malaysian Cinema In a Bottle.

Selain P. Ramlee dan Hussain Haniff, barangkali tiada lagi karyawan pada era itu yang mengerti dan lebih memahami perihal estetika visual untuk memaknakan penceritaan dalam filem.

Bahkan setelah ketiadaan mereka, arena filem negara cuba bangkit pada 1980-an menerusi kemunculan filem Abang, Matinya Seorang Patriot, Tsu-Feh Sofia dan Kembara Seniman Jalanan. Namun jalannya tetap kelam, tenggelam dan makin jauh daripada menepati erti serta makna puitis dan imaginatif yang pernah ditunjuki P Ramlee dalam Semerah Padi dan Pendekar Bujang Lapok serta Hussain Haniff melalui Hang Jebat dan Chuchu Dato Merah.

Kepentingan lakon layar, lakonan dan sinematografi sebagai aspek asas terpenting dalam seni naratif sesebuah filem sering kali diabaikan. Malah arena filem Malaysia seakan tidak malu menghasilkan filem-filem yang secara sengaja mengabaikan skrip yang baik sempurna, lakonan yang mantap bergaya, bersama keupayaan sinematografi yang pintar bercerita.

Kegagalan kesungguhan para pengkarya kita untuk memegang tiga hukum utama dalam penghasilan sesebuah filem adalah punca mengapa filem kita kontang imaginasi serta kering makna dan rasa.

Kelemahan mempelbagaikan imaginasi dalam mengetengahkan tema kemanusiaan atau cinta pada kerangka yang lebih luas dan besar terlalu amat ketara. Penggunaan falsafah sebagai pemikiran dalam cerita hampir langsung tidak ada.

Malah inisiatif untuk memanfaatkan apa jua budaya dan tradisi dalam resam kehidupan yang ada, turut tidak diangkat oleh mana-mana pengkarya secara bersungguh dan serius.

Pengkarya kita seakan lupa bahawa politik, sosial, sejarah dan budaya adalah senjata merbahaya sesebuah karya seni bernama filem.

Ketakutan dalam berkarya akhirnya menguasai jiwa pengkarya kita. Ia sama sekali telah menumpulkan daya kreativiti sehingga menjadikan filem dan drama televisyen kita tidak mampu untuk pergi ke mana-mana. Malah untuk menguasai fikiran rakyat dan bangsanya sendiri pun tidak berupaya.

Semuanya akibat lemah imaginasi serta kekurangan rasa.

Penonton yang sering didedahkan dengan lambakan filem-filem pop tiada nilai serta drama-drama TV murahan yang menggunakan pelakon tampan dan jelita sebagai aset, akhirnya menghilangkan deria seni mereka.

Perlahan-lahan kepekaan rasa dan jiwa seni itu jadi hilang, hingga pada akhirnya langsung tidak berselera dengan filem-filem hasilan kita.

Sewaktu filem-filem Hollywood sudah merentas masa dan terbang ke planet lain tanpa menggunakan roket angkasa, kita masih dipertontonkan dengan kisah perlumbaan kereta yang tidak ketahuan hujung pangkal ceritanya.

Setelah Hollywood mengangkat kekuasaan cinta menentang kelekaan penguasa melalui Three Billboards Outside Ebbing, Missouri, dan tatkala Hollywood mengangkat kesaksamaan dan kesetaraan cinta dalam dunia yang serba berbeza melalui Shape of Water, kita masih tetap dengan cerita-cerita cinta yang lapok itu juga.

Kita sememangnya berjaya menuruti langkah Hollywood menjadikan filem sebagai produk hiburan dan dagangan. Namun kita masih tidak berupaya berganjak lebih maju dari itu kerana kita memang sengaja memilih untuk tidak maju dalam menghasilkan kisah-kisah hebat dan cerita-cerita agung melalui filem.

Lantas itu negara ini tidak pernah mempedulikan nasib filemnya, kerana filem kita tidak pernah mengaspirasikan sesiapa. Kerana filem kita tidak pernah memberi makna dan erti pada sesiapa. Kerana filem kita tidak pernah menawarkan apa-apa sebagai seni buat negara. – 20 Januari, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen