Lokman Adam dakwa Pakatan cuba halang Orang Asli mengundi


Sheridan Mahavera

PAKATAN Harapan (PH) mahu halang pengundi Orang Asli daripada mengundi pada 26 Januari ini, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Nor Adam.

Ini merupakan taktik terbaru PH untuk memenangi pilihan raya kecil Cameron Highlands, tambah Lokman.

Beliau mendakwa rancangan itu diketahui oleh “sumber” Barisan Nasional (BN) yang melihat beberapa “individu” cuba membeli kad pengenalan daripada kira-kira 2,000 pengundi Orang Asli di Cameron Highlands.

“Mereka ini (Orang Asli) tak boleh mengundi kalau tak ada IC (kad pengenalan). Tapi kita dapat kesan rancangan ini dan akan ada ejen standby untuk tangkap orang-orang ini,” kata Lokman kepada pemberita di pusat kempen BN di Kg Keledek, Jelai.

Tambah beliau, seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dari Pahang telah dipindahkan dalam tempoh 24 jam selepas gagal memastikan Orang Asli datang ke program bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Ini menunjukkan yang PH melanggar janji untuk tidak menyalahguna kuasa dalam kerajaan untuk memastikan mereka menang dalam pilihan raya kecil,” katanya tanpa memberi butiran mengenai insiden tersebut.

PH katanya menggunakan taktik ini kerana rasa terancam dengan pemilihan Ramli Mohd Noor dari suku Semai Cameron Highlands sebagai calon BN.  – 19 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen