SAMAN Putrajaya terhadap kerajaan negeri Kelantan berhubung status tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor dekat Gua Musang akan disebut di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 22 Januari ini, lapor Bernama.
Saman itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Bernama memetik sumber melaporkan saman itu difailkan oleh Jabatan Peguam Negara mewakili kerajaan Persekutuan pada Isnin lalu berserta sijil perakuan segera.
Saman sivil itu turut memohon perintah injuksi menghalang tanah adat Orang Asli tersebut diceroboh dan dimusnahkan demi keuntungan komersial pihak swasta.
Saman itu sedang dalam proses untuk diserahkan kepada kerajaan negeri Kelantan dan defendan lain, lapor Bernama.
Selain kerajaan negeri Kelantan, saman itu menamakan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dan lima syarikat swasta.
Lima syarikat swasta itu ialah Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Berhad, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Berhad.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Peguam Negara Tommy Thomas berkata, saman ini adalah yang pertama oleh kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri dalam sejarah Malaysia sejak Merdeka.
Katanya, saman itu adalah untuk mengiktiraf tanggungjawab perlembagaan dan perundangan dalam melindungi serta menjamin kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
“Sedar akan keperitan yang dialami oleh Orang Asli, perdana menteri dan kabinet telah memutuskan bahawa prosiding undang-undang harus dipertimbangkan untuk mencerminkan komitmen kerajaan pusat terhadap Orang Asli. Tambahan pula ini menepati janji manifesto,” katanya dalam kenyataan media.
Menurut Thomas, saman itu dikemukakan selepas kerajaan Kelantan dan beberapa agensinya mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta, yang memberi jalan kepada mereka untuk masuk ke tanah adat di Pos Simpor, menebang hutan dan mengeluarkan kayu balak.
“Tindakan mereka mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber mereka sekali gus menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan.
“Dukacitanya Kerajaan Negeri Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan ataupun menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan mereka,” katanya
Menurut Thomas, walaupun Kerajaan Negeri Kelantan mempunyai bidang kuasa ke atas perkara berkaitan tanah, perhutanan dan galian, namun mereka turut terikat dengan kewajipan utama dan tidak boleh diketepikan untuk melindungi dan memelihara kesejahteraan Orang Asli Temiar.
Kenyataan Peguam Negara itu turut mengambil maklum kedudukan Orang Asli yang kerdil ketika berdepan dengan pihak berkuasa tanpa ada yang berjuang untuk mereka.
Kenyataan itu juga mengambil maklum hak asasi Orang Asli di seluruh dunia yang diiktiraf dan dikuatkuasakan seperti di Australia, Kanada dan India.
“Sudah tiba masa Malaysia turut bersama negara-negara yang mengiktiraf dan melindungi hak-hak Orang Asli,” kata Thomas, memetik Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal 2007. – 18 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan