Azmin akan selesaikan bayaran RM77 juta untuk peneroka Felda, kata Guan Eng


Christopher Rabin

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata peruntukan RM77 juta untuk peneroka Felda akan disalurkan secepat mungkin, dan Menteri Azmin Ali akan mengumumkan tarikh saluran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Januari, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali akan berada di Jelai untuk menjelaskan bilakah bayaran RM77 juta kepada peneroka Felda akan dibuat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Patutnya tak ada masalah, tetapi saya tak pasti tentang isu teknikal, dia (Azmin) akan turun untuk selesaikan masalah ini.

“Terima kasih kepada peneroka Felda kerana membangkitkan perkara ini. Kami akan cuba selesaikannya supaya bila Azmin turun, dia akan boleh selesaikan semuanya kerana dia selia Felda,” kata setiausaha agung DAP itu pada majlis pelancaran slogan Pakatan Harapan “Pembangunan Bersama Harapan” di Felda Sungai Koyan 3 hari ini.

Peruntukan RM77 juta itu diarahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad diberikan kepada Felda supaya peneroka tidak mempunyai tunggakan hutang untuk tahun semasa ini.

Naib Presiden PKR Fuziah Salleh turut menambah yang isu bayaran itu kemungkinan timbul kerana salah faham peneroka yang bayaran itu akan dibuat serta merta, seperti mana kebiasaan pentadbiran BN.

“Sekarang cara bayaran kita berubah dalam berapa kerap kita keluarkan bayaran.

“Mungkin susah untuk peneroka faham dan mungkin mereka harap cara lama bayaran (dilakukan),” katanya.

Fuziah juga mengulangi yang Azmin selaku menteri bertanggungjawab ke atas Felda akan menyelesaikannya sebaik datang ke Jelai.

Wang tersebut bertujuan membantu peneroka melangsaikan tunggakan bayaran khairat kematian, hutang kepada Felda Technoplant Sdn Bhd untuk operasi ladang, bantuan kos sara hidup dan deposit penanaman semula.

Azmin awal bulan ini berkata yang Kerta Putih mendedahkan situasi kewangan sebenar Felda akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini. Pembentangan itu sepatutnya dilakukan pada 10 Disember tetapi ditangguh kerana terdapat konflik perundangan yang perlu ditangani terlebih dahulu. – 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen