Akar umbi PKR gesa kongres khas putuskan kerjasama dengan PAS


Muzliza Mustafa

Akar umbi PKR kini keliru tentang pendirian kepimpinan tertinggi parti dan mahu isu kerjasama dengan PAS diselesaikan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos, 2017.

KEPIMPINAN tertinggi PKR memberikan isyarat yang mengelirukan ahli parti tentang kerjasama dengan PAS menuju pilihan raya umum akan datang, kata wakil akar umbi parti itu.

Sehubungan itu, mereka menggesa PKR mengadakan satu kongres khas memutuskan pendirian apakah parti itu mahu bekerjasama dengan PAS atau tidak dalam PRU14 nanti.

Ketua PKR Cabang Rembau, Yusuf Tapar berkata isyarat yang pelbagai itu mengelirukan jentera parti di akar umbi yang sepatutnya menumpukan perhatian ke arah usaha mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Harapan.

“Setakat ini kita ada 56 cabang yang setuju (kongres khas diadakan) dan kita yakin akan dapat sokongan daripada 20 cabang tidak lama lagi untuk memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah perlembagaan parti,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, mewakili jawatankuasa bertindak Harapan Pakatan.

Mereka berharap akan dapat mengumpul sokongan sekurang-kurangnya 73 daripada 218 cabang atau satu pertiga daripada jumlah cabang PKR bagi mendesak setiausaha agung parti memanggil satu kongres khas bagi membincangkan isu yang berbangkit.

Menurut perlembagaan parti, setiausaha agung perlu mengeluarkan notis mengadakan satu kongres khas dalam tempoh 14 hari daripada permohonan diterima dan sekiranya tidak berbuat demikian, pengerusi tetap mempunyai masa 28 hari untuk menetapkannya.

Setiausaha jawatankuasa bertindak Harapan Pakatan Che Zam Hamzah berkata sekiranya permohonan mereka ditolak, jawatankuasa itu sendiri ada hak untuk mengadakan kongres khas.

“Kita belum pernah buat begini sebelum ini. Tetapi ini politik baru dan kita buat semua ini atas asas demokrasi,” katanya,

Ahli Parlimen Selayang, William Leong minggu lalu meletakkan jawatan daripada Biro Politik PKR sebagai membantah kecenderungan parti itu berkerjasama dengan PAS menjelang PRU14.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam mengeluarkan satu kenyataan menggariskan alasan kenapa kongres khas membincangkan kerjasama PKR dengan PAS perlu diadakan segera.

Katanya, perbezaan pandangan mengenai kerjasama itu memecahbelahkan parti dan menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi.

Perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

PKR, PAS dan DAP menjalin kerjasama selepas pilihan raya umum ke-12 untuk membentuk kerajaan negeri di Selangor. Kerjasama itu kemudian dimeterai atas nama Pakatan Rakyat pada PRU13 dan runtuh selepas PAS berkrisis dengan DAP berhubung isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali bagaimanapun mengekalkan kerjasama dengan PAS di negeri itu biarpun parti Islam itu memutuskan hubungan secara rasmi dengan PKR melalui ketetapan yang dicapai pada muktamarnya Mei lalu.

Azmin awal hari ini menyifatkan kenyataan Rafizi sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan kepercayaan yang telah diberikan oleh ahli-ahli parti kepada pucuk pimpinan PKR dalam menentukan apa yang terbaik menuju PRU14.

Kenyataan Rafizi itu juga katanya tidak pernah dibincangkan pada peringkat parti.– 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen