Ketua Pemuda PKR Kelantan dipecat melalui mesej WhatsApp


Amin Iskandar

Ketua Pemuda Kelantan Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat awal pagi ini dan akan digantikan menurut Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight , 27 Ogos, 2017.

PERGOLAKAN dalaman PKR semakin hebat apabila Ketua Pemuda Kelantan Mohd Hafidz Rizal Amran dipecat melalui mesej di aplikasi WhatsApp hari ini.

Hafidz menerima mesej itu daripada Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pagi ini.

“Salam hormat, saya menerima WhatsApp dari YB Nik Nazmi Nik Ahmad pada jam 9.08 pagi ini yang memecat saya serta merta daripada jawatan ketua AMK Kelantan.

“Saya akan menyatakan pendirian dan memberi maklum balas dalam tempoh terdekat,” tulis Hafidz melalui akaun Facebooknya hari ini.

Perkara itu disahkan Nik Nazmi kepada The Malaysian Insight.

“Ketua AMK Kelantan digantikan,” kata Nik Nazmi ketika dihubungi.

“Penukaran ketua Pemuda PKR Kelantan ini adalah hasil susulan daripada pertemuan Pemuda Pusat dan Kelantan yang turut dihadiri timbalan saya Dr Afif Bahardin.”

Menurut Nik Nazmi, beliau sudah memaklumkan perkara ini kepada Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir.

“Pengumuman nama ketua baharu akan dilakukan dalam jangkamasa terdekat,” kata Nik Nazmi yang juga exco kerajaan negeri Selangor.

Pertembungan dalaman PKR semakin memuncak apabila Naib Presiden Rafizi Ramli mengatakan kongres khas perlu dibentuk segera untuk menyelesaikan isu kerjasama antara PAS dan kerajaan negeri Selangor.

Beliau berkata perbezaan mengenai perkara itu (sama ada untuk bekerjasama dengan PAS bagi mengekalkan penguasaan terhadap Selangor) memecahbelahkan parti itu dan kini menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi. – 28 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen