Polis serah SPRM siasat beli undi di Cameron Highlands


Kalidevi Mogan Kumarappa

PDRM masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung isu dakwaan kononnya wujud amalan ‘membeli’ undi di Cameron Highlands. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

POLIS menyerahkan isu politik wang sepanjang musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun.
 
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi fokus kepada isu keselamatan dan akan meneruskan pemantauan secara berterusan sehingga hari pengundian 26 Januari ini.

Menurut Fuzi, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung isu dakwaan kononnya wujud amalan ‘membeli’ undi di Cameron Highlands sekarang seperti mana beberapa keping gambar yang tular dalam media sosial.

“Memang ada isu kewangan yang tular, kami menyerahkan isu ini kepada SPRM untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) antara T Narenasagaran dan Nerita Yaacob.

Fuzi menegaskan setakat ini proses kempen PRK Cameron Highlands berjalan lancar.

Isu beli undi di Cameron Highlands timbul selepas beberapa gambar sukarelawan Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada penyokongnya tular di media sosial sejak semalam.

PH menyatakan pemberian duit itu sebagai bayaran balik kepada kos minyak kepada sukarelawan Orang Asli yang datang daripada kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon Sabtu lalu.

Pakatan itu juga berkata, pemberian itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan calonnya, M. Manogaran.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata PH tidak pernah memberi duit untuk meraih undi rakyat, manakala Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa kepada mana-mana pihak yang melihat sebarang perbuatan pembelian undi atau salah laku lain ketika kempen di Cameron Highlands untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Fuzi memaklumkan PDRM sedang mengadakan penyelidikan dan pembangunan untuk memperkenalkan teknologi pengecaman wajah (facial recognition) yang dilengkapkan pada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negara.

Sebelum ini, pada 1 Januari lalu menerusi teknologi ‘artificial intelligence’ yang dibangunkan menggunakan sistem IBM itu, sebanyak 767 buah CCTV dipasang di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dipertingkatkan dengan teknologi pengecaman wajah tersebut.

Teknologi itu yang pertama digunakan di negara ini mampu mengesan wajah penjenayah atau orang yang dikehendaki dan beroperasi sepenuhnya di bilik gerakan ibu pejabat polis kontinjen negeri. – 14 Januari, 2019.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen