Buat laporan polis jika berlaku beli undi, kata Anwar


Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi amaran mengenai pensabotaj yang ingin menggagalkan perjuangan Pakatan Harapan demi keadilan dan menggesa semua pihak bersama-sama menanganinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

SESIAPA yang menyaksikan pembelian undi atau salah laku lain semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands harus segera membuat laporan polis, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu juga memberi amaran mengenai pensabotaj yang ingin menggagalkan perjuangan Pakatan Harapan (PH) demi keadilan dan menggesa semua pihak bersama-sama menanganinya.

“Sekiranya terdapat salah laku, sila buat laporan polis. Selalu ada elemen - baik dalaman dan luaran - yang akan merosakkan perjuangan kita untuk demokrasi,” katanya dalam tweet hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tweet oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun semalam yang meminta sesiapa mempunyai bukti langsung tentang kesalahan dalam tempoh kempen agar membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Azhar berkata beliau tidak boleh membuat laporan kerana tidak mempunyai bukti langsung dan apa yang ada hanyalah khabar angin.

Sebelum ini Azhar juga berkata SPR tidak mempunyai kuasa penguatkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

Isu pembelian undi di Cameron Highlands muncul selepas gambar pekerja PH menyerahkan wang kepada penyokong tular di media sosial.

PH menjelaskan ia adalah bayaran semula kos petrol yang ditanggung oleh sukarelawan Orang Asli dari kawasan pedalaman ke Tanah Rata semasa hari penamaan calon pada Sabtu.

PH juga berkata pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya oleh calonnya, M. Manogaran

Veteran DAP Lim Kit Siang juga berkata mereka membayar RM20 setiap seorang kepada 60 penunggang motosikal.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) mengkritik PH dengan mendakwa ia sebagai tindakan membeli sokongan.

Presiden MCA, Wee Ka Siong menuduh PH bersikap “double standard” memandangkan pendirian kuatnya menentang politik wang.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Manogaran, Ramli Mohd Nor, serta calon bebas Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14 atas dasar pembelian undi dan politik wang terlibat dalam kemenangan BN. – 14 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen