Pemberian duit minyak RM20 tidak salah, kata calon Pakatan   


Chan Kok Leong

Calon Pakatan Harapan pilihan raya kecil Cameron Highlands, M Manogaran berkata memberi wang untuk mendapatkan undi merupakan satu kesalahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019

PEMBERIAN wang untuk makanan dan kos pengangkutan kepada sukarelawan tidak salah, kata calon Pakatan Harapan pilihan raya kecil Cameron Highlands.

M Manogaran berkata, pembayaran balik itu bukan sebagai pertukaran untuk undi dan merupakan sebahagian daripada perbelanjaan kempen yang akan diambil kira.

“Memberi wang kepada sukarelawan untuk makanan dan pengangkutan mereka mengikut undang-undang tidak salah.

“Ia merupakan sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya yang akan dicatat pada akaun yang akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan di Sungai Koyan 3, pagi ini.

“Mahkamah mengatakan memberi wang sebagai pertukaran untuk undi adalah salah,” kata peguam itu yang bertanding buat kali ketiga untuk kerusi Parlimen Pahang itu selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14.

November lalu, mahkamah pilihan mendapati calon MIC C Sivarraajh memberi rasuah kepada pengundi dan membatalkan keputusan itu.

Menurut Manogaran, 60 orang sukarelawan yang membantu pada hari penamaan calon Sabtu lalu, datang menaiki motosikal mereka dan diberikan RM20 untuk duit minyak.

“Kita tidak pasti sama ada mereka adalah pengundi kerana kita tidak tanya mereka.

“Perbelanjaan ini perlu dicatat dalam akaun perbelanjaan yang akan dihantar kepada SPR dan SPR mengehadkan perbelanjaan kempen sebanyak RM200,000,” kata calon DAP itu.

Katanya, wang yang diberikan kepada sukarelawan bukan gaji.

“Kita tidak bayar gaji kerana mereka bukan pekerja kita tetapi kita berikan wang untuk makanan dan pengangkutan.”

Gambar menunjukkan beberapa individu memakai kemeja-t merah dengan logo Pakatan dan didakwa mengagihkan wang kepada penduduk di kawasan Cameron Highlands tular di media sosial semalam.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan calon yang bertanding atau ejen pilihan raya perlu menghantar penyata perbelanjaan kepada pengarah SPR negeri dalam tempoh 31 hari selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Perbelanjaan bagi pilihan raya untuk kerusi negeri dihadkan kepada RM100,000 manakala bagi kerusi Parlimen RM200,000.

Manogaran sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 2013 namun tewas kepada MIC, dan tewas sekali lagi pada 2018 di tangan Sivarraajh. – 14 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen