Pakatan kata gambar tular beri wang adalah ‘duit minyak’


Kempen Pakatan Harapan di Cameron Highlands penuh kontroversi daripada ugutan senator sehinggalah kepada gambar tular yang dakwa pengkritik bukti gabungan baharu memerintah itu mengamalkan politik wang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Januari, 2019.

GAMBAR tular menunjukkan wang bertukar tangan antara pekerja kempen pilihan raya Pakatan Harapan di Cameron Highlands adalah duit minyak kepada sukarelawan pada hari penamaan calon, kata Timbalan Pengarah Pusat Operasi Jelai Arvind Bharet.

Katanya, sukarelawan menggunakan motosikal mereka sendiri untuk datang dari kawasan masing-masing ke Tanah Rata pada Sabtu lepas.

Arvind mengulas gambar tular menunjukkan pekerja kempen PH memberikan wang kepada sekumpulan pemuda.

Barisan Nasional dan pengguna media sosial mendakwa gambar tersebut adalah bukti PH membeli undi pada PRK Cameron Highlands.

Arvind bagaimanapun berkata duit minyak tersebut akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan kempen oleh calon PH M Manogaran.

“Semuanya dibuat berasaskan undang-undang. Kami percaya kepada pilihan raya yang bersih dan telus,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata akan menyiasat dakwaan politik wang tersebut.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata SKMM memerlukan masa antara lain untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial media yang terlibat.

“Setakat sekarang ini, saya masih belum boleh berikan sebarang pengesahan berkenaan sebarang dakwaan dan tanggapan dibuat ramai pihak.

Gambar tular yang didakwa BN bukti Pakatan Harapan amal politik wang tular di media sosial hari ini. – Gambar Facebook, 13 Januari, 2019.

“Beri sedikit masa, kita tunggu sampai dapat maklumat tepat baru kita akan terangkan keadaan sebenar atau kita boleh sahkan itu tak berlaku atau ada pihak-pihak yang cuba ambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke bilik gerakan PH Felda Sungai Koyan 3, di Lipis, hari ini.

Gambar menunjukkan beberapa orang memakai baju berlogo PH didakwa memberikan wang kepada pengundi di Cameron Highlands tular di media sosial sejak pagi tadi. 

Pengundi Cameron Highlands akan membuang undi mereka pada 26 Januari depan.

PRK itu diadakan selepas mahkamah pilihan raya membatalkan keputusan PRU14 selepas didapati berlaku korupsi dan rasuah oleh calon BN yang menang, C Sivarraajh.

Terdahulu hari ini, calon PH M Manogaran berkata DAP akan menyiasat dakwaan wang diberikan kepada pemuda Orang Asli selepas proses penamaan calon.

“Saya tak berada di sana dan baru tahu mengenainya pagi tadi. Kami akan siasat dan buat ulasan bersesuaian nanti. Saya perlu tahu dahulu apa sebenarnya berlaku,” katanya selepas melawat perkampungan Orang Asli, Kampung Sg Relong di Menson.

Beliau bagaimanapun menafikan mengatur kedatangan penyokong dengan bayaran wang pada hari penamaan calon.

“Saya tak atur perkara sebegitu. Saya tak tahu bagaimana ia berlaku dan apa yang sebenarnya berlaku.

“Saya perlu periksa dengan teliti apa yang berlaku. Selepas penamaan calon saya pergi ke Koyan jadi saya tak tahu,” katanya. – 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen