Bila lagi nak lantik ketua pengarah Finas?


Haris Hauzah

KEMALASAN Melayu dalam seni dan budaya tentulah bukan satu-satunya sebab mengapa seni dan budaya kita, dalam konteks ini filem, ketinggalan jauh berbanding Jepun dan Korea atau Thailand dan Indonesia.

Selain sikap, ekosistem dan persekitaran industri filem negara ini menyediakan ladang dan padangnya juga menjadi akibat dan sebab jatuh bangunnya karya-karya yang dihasilkan.

Slavoj Zizek, seorang sosiologis dan sarjana falsafah Slovenia, pernah berhujah: “Anda tidak akan boleh mengubah manusia tetapi anda boleh mengubah sistem supaya manusia tidak ditolak untuk terdorong melakukan perkara mungkar.”

Kemungkaran seorang ayah yang tergamak menyimbah air panas ke tubuh dua anaknya kerana lapar dan lelah bekerja adalah realiti dari sebab dan akibat yang Zizek cuba maknakan daripada hujahnya.

Kekalutan yang berlaku dalam hidup adalah kesan dari ekosistem yang membentuk persekitaran manusia – yang mana pada akhirnya membentuk sikap dan tingkah laku manusia.

Apabila kita menoleh dan melihat sejarah lama, naratif perfileman negara telah bermula sejak 1897 sewaktu sebuah pangung bernama Teater Al-Hambra bertempat di Singapura pertama kali menayangkannya filem.

Pada 27 November tahun yang sama. Kelab Selangor yang menjalankan operasinya di tengah Kuala Lumpur membawa peralatan moden dan mengejutkan penduduk dengan sebuah tayangan filem yang belum pernah mereka saksikan sebelumnya.

Maka lembaran baru sejarah seni dan budaya pun bermula.

Perkembangan itu seterusnya diikuti dengan penubuhan beberapa panggung lain seperti Paris Cinema dan Roxy. Malahan perkembangan komuniti sinema kian giat dengan pergerakan wayang pacak yang bergerak menyelinap ke seluruh ladang dan estet seluruh negara.

Pada 27 Mac 1934, filem Laila Majnun terbitan tempatan yang pertama ditayangkan di Marlborough Theater.

Ya, waktu itu Finas belum ada.

Finas hanya muncul selepas 46 tahun berikutnya. Datang membawa harapan dan cita-cita. Tujuannya hanyalah untuk menggalak, memelihara serta memudahkan kemajuan industri perfileman negara, bersama visi menjadi peneraju industri perfileman Malaysia ke taraf dunia.

Namun, semenjak tertubuh 39 tahun lalu, Finas hanya meninggalkan seribu satu kebejatan buat kita.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 mendedahkan bahawa Finas telah bertanggungjawab membelanjakan sejumlah RM1.4 juta wang dananya bagi membeli bangunan dan tanah di Kuching Sarawak tanpa pernah merekodkan ke dalam akaunnya.

Laporan yang sama itu juga menemui maklumat yang tidak diaudit untuk dilaporkan kepada ketua audit selain satu transaksi yang tidak selaras dan mencurigakan, serta tiga kecuaian memasukkan dalam akaun maklumat mengenai kutipan semula bayaran yang sepatutnya memberi pulangan keuntungan kepada Finas.

Itulah realitinya, yang penuh hampa.

Jadi kenapa industri ini terlalu sangat perlukan Finas agaknya?

Adakah kerana tanpanya maka tidak akan ada filem kita yang akan ke Oscar mewakili negara? Tidak, bukan itu sebabnya.

Semenjak Pakatan Harapan menang pilihan raya dan membentuk kerajaan, Finas (sampai sekarang) masih terkontang kanting tanpa arah. Masih terkia-kial tanpa tujuan yang jelas.

Finas pada saat dan tika ini masih kekal tanpa idea dan memilih untuk jadi batu beku bak replika Orang Utan yang keras berdiri depan perkarangan Zoo Negara berhampiran bangunan ibu pejabatnya.

Slogan kerajaan Pakatan Harapan yang mengatasnamakan reformasi institusi seharusnya digunakan sebagai kerangka agenda besar yang akan mereka perjuangkan bagi menyusun dan menstruktur semula segala kepincangan yang ada dengan segera.

Bukan dengan cara membiarkan Finas beberapa bulan beroperasi tanpa ketua pengarah. Atau membiarkan jawatan ketua pengarah serta timbalannya dipegang oleh seseorang yang berstatus penyandang sahaja.

Apa yang menteri takutkan sebenarnya?

Pada 10 Disember lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo mengumumkan perlantikan ahli lembaga eksekutif dan non-eksekutif Finas.

Dalam pengumuman tersebut, Gobind menyebut tentang pembentukan sebuah panel penasihat yang terdiri daripada 11 individu yang aktif terlibat dengan industri perfileman negara.

Apakah panel penasihat ini sudah mengadakan pertemuan secara formal?

Adalah sesuatu yang agak mengecewakan apabila panel penasihat sejak dari mula masih ternganga tanpa diberi apa-apa terma rujukan yang dapat mereka jadikan kerangka rujukan bagi memudah dan menyegerakan kerja-kerja mereka.

Kemalasan bukanlah satu-satunya sebab mengapa industri filem kita longlai tak bermaya.

Industri filem negara ini sudah ditimpa dengan seribu satu penyakit dan gejala; dari soal kebajikan pekerjanya yang tidak pernah terjaga sampailah ke isu pengabaian terhadap perlindungan berupa skim dan insentif sepertimana nasib pekerja sektor lain juga.

Malah industri kreatif ini tidak pernah ada satu akta pun yang melindungi dan menjaganya.

Justeru, ketua pengarah Finas perlu dilantik segera. Industri ini ternyata sangat memerlukan dasar yang mapan bagi melindungi hak dan kebajikan para karyawan sebagai pekerja.

Industri harus cepat menentukan sikapnya untuk memilih hala tuju baru bagi membentuk suatu kerangka ekosistem yang memberi lebih banyak sinar dan harapan – dalam bentuk pekerjaan – yang akan menjana ekonomi negara.

Jadi mengapa harus membuang waktu yang ada dengan mengambil terlalu banyak masa?

Tidakkah itu akan merugikan seluruh industri perfileman kita? – 13 Januari, 2019.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen