Menjejaki kampung Lat...


Thor Kah Hoong

Kartunis kebanggaan negara Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai 'Lat' yang berjaya pergi jauh dengan karyanya, Kampung Boy. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 April, 2017.

SEBAHAGIAN besar rakyat Malaysia, tua dan muda, lahir dan membesar dengan kartun Lat, “Kampung Boy” yang disiarkan di Berita Minggu dan The New Straits Times (NST) pada sekitar 1970-an dan 1980-an.

Kampung Boy dipersembahkan dalam gambaran begitu indah, penuh kesucian dan terpelihara daripada segala kerosakan, personaliti yang membuatkan sesiapa sahaja ketawa atau tersenyum kerana di dalamnya mengingatkan tentang diri kita, ahli keluarga dan rakan.

Apabila telatah kanak-kanak nakal ini dikumpul dan dijadikan buku pada 1979, Kampung Boy menjadi supernova.

Ratusan menghadiri sesi tanda tangan buku Lat di pusat beli belah seluruh negara. Di Singapura, penampilan beliau menarik 500 peminat, termasuk keluarga presiden.

Selepas itu, Kampung Boy berpindah ke bandar, membesar dan pergi global.

Jadi di mana kampung yang Lat tulis dan lukis kartunnya itu? Kampung dengan tiga, empat kanak-kanak menaiki basikal tua, menelusuri jalan berlekuk, bersenggayut seperti Tarzan yang kemudiannya menghasilkan percikan air besar apabila terjun ke dalam sungai.

Adakah Kampung Lalang, Kota Baru, Perak, di mana Mohammad Nor Khalid dilahirkan pada 5 Mac 1951? Di mana kanak-kanak montel memperoleh nama samaran keluarga “bulat”, dipendekkan kepada Lat.

Atau antara satu daripada bandar di beberapa negeri – Butterworth, Kuala Batas, Muar, Kluang, Mentakab, Kampung Baru (Kuala Lumpur) – di mana keluarga itu bergerak memandangkan bapa Lat bekerja sebagai kerani bagi Rejimen Askar Melayu ke-5?

Atau Sungai Rokam? Di mana keluarga itu akhirnya mempunyai sebuah rumah sendiri pada 1963, sementara menunggu tugasan rejimen seterusnya. Sebuah rumah di perumahan kos rendah Kampung Sungai Rokam, berharga RM3,000 yang dibayar lebih 14 tahun pada kadar RM32 sebulan. Perubahan sosial, daripada bumbung zink rumah kampung tipikal kepada bumbung asbestos.

Sungai Rokam bersempadan Taman Golf di Ipoh di mana Lat membeli sebidang tanah pada 1991, membina rumah dan berpindah pada akhir 1997, lawatan yang disangka hanya untuk melihat rumah baru kosong berakhir dengan mereka bermalam di sana, Lat mengabaikan bantahan anak-anak kerana banyak kekurangan kemudahan seperti penghawa dingin.

Lat berkata anak-anaknya terlalu kebandaran, menjadi “anak-anak pusat beli belah”. Beliau mahu mereka mengalami aliran kehidupan di kampung di mana beliau dibesarkan.

Terfikir kata-kata novelis Amerika Thomas Wolfe daripada novel yang lahir selepas kematian beliau “You Can’t Go Home Again” (1940): “Anda tidak boleh kembali kepada keluarga anda, kembali ke zaman kanak-kanak anda ... kembali kepada impian gemilang seorang pemuda ... kembali ke tempat di negara ini, kembali kepada bentuk dan sistem yang sebelumnya dianggap kekal tetapi berubah setiap masa.”

Lat tiada hasrat melawat mercu tanda yang tersemat dalam landskap zaman kanak-kanaknya. Semuanya sudah berubah, stesen bas Tanjung Rambutan (sinonim dengan pesakit mental) dengan bas berasap, gerai ais kacang dan bunyi kuat daripada peti lagu – semuanya sudah lenyap.

Gerai nasi kandar di bawah pokok besar, semuanya sudah hilang. Dan paling penting kebanyakan “kroni” sudah meninggal dunia. Oleh itu, beliau enggan menziarahinya kembali.

Rumah Lat di Taman Golf mengadap padang golf. Kelihatan seperti rumah kampung tetapi di bahagian bawah sama seperti banglo yang boleh ditemui di mana-mana bandar.

Untuk menyelesaikan pertanyaan tentang kampung Lat, ia adalah Sungai Rokam, rumah pertama keluarga itu yang kini didiami kakak dan keluarganya. Kampung Lalang, tempat kelahiran beliau, hanya menyumbang adegan kegembiraan di sungai.

Banyak kisah Lat boleh didapati di dalam “Lat: My Life and Cartoons” (edisi Didier Millet). Ia mempunyai pelbagai gambaran Lat sepanjang zaman, sejak kecil berusia setahun, kepada Puan Hew yang diabadikan dengan kaca mata rama-ramanya, bercheongsam dan model rambut sarang lebah (dalam kartun Lat, sering memegang rotan di tangan), hingga Lat berusia 18 tahun menunggang motor AJS 350cc.

Beliau menceritakan pelbagai glotal, rakyat Malaysia pelbagai budaya dalam episod yang mampat, penglipur lara untuk Malaysia yang berubah. Cerita kami.

Banyak bahagian Kampung Sungai Rokam terletak di pinggiran Jalan Gopeng hilang akibat pembangunan dengan rumah kedai dan perumahan teres, seperti kebanyakan tempat lain.

Di tengah-tengah kampung, banyak rumah disambung dan diubah suai dengan ciri moden yang menurut Lat menghilangkan sentuhan autentiknya. Kesan yang tidak dapat dielakkan akibat peningkatan ekonomi.

Terdapat beberapa rumah kampung tradisional di kawasan terpencil yang menolak pemodenan fizikal, tetapi ia kelihatan hilang, pudar, kerdil atau usang berbanding jiran lain.

Kampung mungkin hilang. Tetapi ia tidak pernah meninggalkan Lat. Di situlah terletaknya kampung Lat. Di dalam dirinya dan kita semua yang membesar bersama dan semasa zaman Kampung Boy. Pencarian erti kejiranan sebenar.

Mungkin ada yang berfikir ia di situ, bukannya pembinaan semula Rumah Lat, projek kampung warisan di Batu Gajah, di tanah disediakan kerajaan Perak bersama Kementerian Pelancongan yang menyimpan hasrat menerima kedatangan pelancong untuk membelanjakan wang bagi merasai sekilas kehidupan kampung tradisional yang dipentaskan. – 3 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen