Sultan Muhammad V letak jawatan Yang di-Pertuan Agong


SULTAN Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Istana Negara dalam satu kenyataan ditandatangani Pengelola Bijaya, Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz.

“Baginda memaklumkan perkara ini secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang telah diutuskan kepada Setiausha Majlis Raja-Raja,” kata Wan Ahmad.

Katanya, Sultan Muhammad V telahpun berangkat ke Kelantan untuk bersama dengan kerajaan negeri dan rakyatnya di negeri itu.

Pengumuman itu tidak menyatakan sebab sebenar Sultan Muhammad V meletak jawatan dan tidak menamatkan spekulasi yang meliar sejak baginda bercuti selama dua bulan bermula November lalu.

Wan Ahmad berkata Sultan Muhammad V merakam penghargaan kepada kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kerana memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.

Baginda juga menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kerajaan pimpinannya serta pasukan Angkatan Tentera Malaysia yang diketuainya.

“Kepada rakyat Malaysia, Seri Paduka Baginda Tuanku bertitah supaya rakyat terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tangugngjawab terhadap negara yang berdaulat ini supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Antara spekulasi yang timbul adalah berhubung dakwaan perkahwinan baginda dengan seorang warga asing.

Ia ekoran desas-desus bahawa baginda diminta melepaskan takhta susulan perkahwinannya dengan bekas model Rusia, Oksana Voevodina.

Laporan perkahwinan itu tidak disahkan dan tidak juga dinafikan oleh pihak istana.

Bagaimanapun, perkahwinan itu bukan satu alasan untuk baginda turun takhta, kata bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali.

Apandi juga berkata Seri Paduka tidak boleh diturunkan melalui mesyuarat tidak rasmi melibatkan raja-raja Melayu.

Majlis Raja-Raja Melayu itu dilaporkan mengadakan mesyuarat tidak berjadual pada malam Khamis yang dikatakan membincangkan kedudukan Sultan Muhammad V. – 6 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Alas, What's next?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Siti Fatimah · Ulasan