Kemalasan Melayu dalam seni dan budaya


Haris Hauzah

AGAK jarang kita mengaitkan polemik kemalasan dengan seni, sastera dan budaya orang Melayu. Adakah kerana seni, sastera dan budaya itu sendiri adalah suatu dunia bagi orang-orang malas? Atau ia sememangnya tidak penting untuk kemajuan orang Melayu? Lalu mana-mana pemikir jadi malas mahu memikirkan dalam ruang lingkup itu.

Naratif malas dalam kalangan masyarakat Melayu bukanlah sesuatu yang baru. Semenjak beberapa bulan lalu, Melayu secara tidak semena-mena bertalu-talu ditembak beberapa das oleh penulis buku Dilema Melayu. Orang-orang Melayu terlebih dahulu telah dihukum malas oleh Frank Swettenham, Emiley Innes, Isabella Bird, Tom Pires, Hugh Clifford, dan Stamford Raffles.

Syed Hussein Alatas yang tampil dengan The Myth of Lazy Native secara lantang menolak tanggapan yang dilihat telah mula meresap masuk ke fikiran sarjana tempatan seperti Abdullah Munshi atau barangkali dalam konteks hari ini, sosok itu adalah Mahathir Mohamad.

Syed Hussein Alatas menyatakan: “Gambaran tentang masyarakat peribumi dan para penguasanya yang dicipta oleh ahli sejarah dan pengkaji kolonial dapat dianggap kezaliman, ketidakstabilan, anarki, keterbelakangan dan ketiadaan undang-undang. Ada suatu unsur kebenaran di dalamnya, tetapi tidak mewakili seluruh gambaran.”

Menurut Syed Hussien Alatas, kesilapan Swettenham, Raffles serta beberapa kerat Inggeris lain termasuk Abdullah Munshi adalah kerana “menyamaratakan berbagai-bagai peristiwa khusus yang dijelaskan oleh para penulisnya. 

“Ada orang Melayu tanpa inisiatif, kaum Melayu yang malas, masyarakat Melayu yang tidak serius, dan yang tidak memikirkan masa hadapan. 

“Semua sifat negatif yang didaftar oleh Revolusi Melayu memang ada dalam kalangan beberapa orang Melayu, tetapi agak tidak kena pada tempatnya untuk menyamaratakannya.”

Generalisasi yang dilakukan oleh Swettenham, Raffles dan kawan-kawannya adalah suatu penghakiman yang berat sebelah. 

Malah sikap mereka dalam menanggapi isu dan hal kemalasan orang Melayu itu hanyalah berkisar pada satu dua insiden yang melintas di depan mata mereka. Justeru, tentunya ia tidak adil.

Mahathir sejak dipilih semula memegang jawatan perdana menteri selepas 22 tahun pernah berkuasa, kini tidak berhenti bercakap tentang perihal kemalasan orang Melayu.

Sewaktu perhimpunan agung tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ke-2 Disember lalu. Di hadapan sekitar 1,500 perwakilan, Mahathir sekali lagi mengulangi kenyataan pedasnya tentang kemalasan Melayu.

Melalui ucapannya, dia berkata: “Orang Melayu tidak bekerja sekuat orang (bangsa) lain dan tidak mengambil berat terhadap aspek tanggungjawab selain lemah menguasai ilmu serta maklumat yang diperlukan.”

Dia seterusnya mengaitkan hal kemunduran masyarakat Melayu selama ini dengan sikap “kita (Melayu) yang tidak suka cara susah. Kita (Melayu) nak yang mudah.”

Malah dia berulang kali menyatakan bahawa kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk memajukan taraf ekonomi orang Melayu itu berpunca dari sifat malas, culas dan berat siku orang Melayu.

Pada Jun lalu dalam suatu temubual, beliau berkata kerajaan baharu pimpinannya tiada rancangan untuk mengeksport apa-apa hasil seni dan budaya negara ini. Justeru jangan ada orang Melayu berangan karya filem dan drama Melayu akan dapat ke Jepun atau Korea atas inisiatif kononnya kerajaan baru ini akan membantu.

Sebagai seorang Melayu, berapa ramai dalam kalangan mereka yang rajin untuk cuba memahami drama-drama Melayu seperti Kekasih Paksa Rela, Lafazkan Kalimah Cintamu, Isteri Untuk Diiktiraf atau paling tidak drama Encik Suami Mat Salih Celop dan Duda Terlajak Laris.

Dan sebagai seorang Melayu, berapa ramai pula yang rajin untuk cuba menyelami filem-filem Melayu seperti Badang, Bidong, Tujuh atau Munafiq lalu dikaitkan dengan sikap malas orang Melayu.

Ternyata memang kebanyakan drama dan filem Melayu yang dipertontonkan kepada orang Melayu sendiri adalah hasil dari buah-buah fikiran yang malas. 

Karya-karya ini jenis jalan selamat yang tidak suka cara susah. Karya yang nak untung dan menang dengan mudah. Baik dari aspek isi intipati cerita, mahupun aspek teknikal produksi. Segalanya adalah hasil dari sikap malas.

Bak kata Mahathir: “Kalau boleh kekayaan itu datang bergolek kepada kita dan apabila ia datang bergolek maka kita akan tunggu banyak lagi datang.”

Orang Melayu menghasilkan karya malas untuk orang yang menontonnya jadi malas.

Dalam satu aspek, Mahathir kedengarannya benar dalam menjustifikasikan makna malasnya itu. Beliau memuji Jepun dan Korea yang sekarang terbukti berjaya memajukan negara hasil dari pengeksportan hasil seni, sastera dan budaya negara mereka seperti anime, manga, muzik, reka bentuk, makanan, pelancongan, fesyen dan tentunya filem. 

Segalanya kerana sistem nilai yang diwarisi dalam tradisi berfikir dan bekerja dalam hidup mereka.

Secara khusus, dalam tradisi kreatif seni, sastera dan budaya orang Melayu, penyakit kemalasan orang Melayu ini amat jarang sekali mahu diperkatakan. Malah semangat kerajinan orang Melayu pada warisan seni, sastera dan budaya yang mereka warisi juga tidak sangat diperkatakan.

Kesungguhan, keseriusan malah kerajinan orang Melayu menciptakan watak, cerita dan kisah melalui penglipur lara, seterusnya menimbulkan nasihat dan semangat dari pantun, gurindam, melodi dan lagu, termasuk menerbitkan inspirasi dalam main puteri dan mak yong serta kritikan sosial dan sindiran politik dalam menora dan wayang kulit tidak disentuh secara jelas dengan sikap Melayu yang malas.

Adakah ini yang disebut oleh Swettenham, Innes, Bird, Pires, Clifford, dan Raffles sebagai hiburan yang orang Melayu gemar bazirkan masa dan tenaga sebagai suatu kemalasan?

Atau Syed Hussein Alatas yang barangkali terlalu awal memberikan penilaian terhadap tuduhan orang-orang inggeris tentang sikap malas orang Melayu?

Atau Mahathir yang terlalu judgemental akan nilai dan sikap orang Melayu, lalu semberono memberikan label malas. 

Dalam hal ini, kita sebagai orang Melayu di mana? 

Apakah pula sikap dan tanggapan kita terhadap seni, sastera dan budaya Melayu? 

Atau kita mahu terus tetap menonton drama-drama dan filem malas yang dihasilkan oleh orang malas untuk kita sama-sama turut menjadi malas? – 6 Januari, 2019

 

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen