KERUGIAN pelaburan dalam urusniaga forex sebanyak RM30 bilion yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) adalah kerugian sebenar yang telah pun disahkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang berlangsung sekarang ini, kata Ketua Penerangan Umno Annuar Musa.
Berbeza dengan isu 1MDB, Annuar berkata kerugian itu hanya berdasarkan di atas kertas.
“RM30 bilion itu adalah kerugian sebenar yang tidak akan negara dapat balik sampai bila-bila. Bukan kerugian yang hanya di atas kertas, tetapi kerugian sebenar yang kita hilang buat selama-lamanya.
“Ia tidak seperti isu yang berlaku kepada 1MDB. Kerugian itu berdasarkan di atas kertas namun perniagaan 1MDB masih berjalan, masih mampu memperoleh untung dan melakukan rasionalisasi bagi mengatasi sebarang kerugian yang berlaku.
“Pembangkang pula membayangkan seolah-olah hutang 1MDB itu tak mampu dilunaskan dan rakyat terpaksa tanggung hutang-hutang tersebut. Ini maklumat tak betul. Kerugian itu hanya dari atas kertas dan dari segi perniagaan, ia tidak akan lingkup secara total dan masih lagi menjalankan perniagaannya,” Annuar dipetik sebagai berkata dalam laporan Umno Online.
Annuar membuat perbandingan itu pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC hari ini.
Dalam laporan itu juga, Annuar menyalahkan DAP dan pemimpin veterannya Lim Kit Siang yang menuntut RCI ke atas kerugian forex itu dijalankan.
Menafikan RCI dilaksanakan dengan niat untuk membalas dendam terhadap mana-mana individu termasuk Dr Mahathir, Annuar menegaskan ianya dilaksanakan kerajaan di atas permintaan rakyat dan demi kepentingan rakyat.
“RCI ini biasanya ditubuhkan berdasarkan permintaan daripada rakyat. Dan untuk melaksanakan RCI ini, kerajaan mesti mengkaji sentimen rakyat dan juga keperluan terhadap satu-satu su yang kadang-kadang berubah.
“Dalam isu RCI skandal forex ini, Lim Kit Siang telah membangkitkan perkara itu dalam Parlimen pada 1994, iaitu setahun selepas tersebarnya berita negara kerugian berbilion ringgit dalam pelaburan tersebut.
“12 tahun kemudian, pada 2006 beliau sekali lagi membangkitkan isu sama di dalam Parlimen dan menuntut RCI diwujudkan, malah beliau memberikan fakta-fakta terperinci berhubung kerugian yang dialami negara,” katanya.
“Lim adalah orang pertama yang memberi gambaran jumlah kerugian kerajaan dalam forex trading itu mencecah separuh daripada rizab negara yang ketika itu keseluruhannya berjumlah RM60 bilion.
“JAdi, RCI ini dilaksanakan oleh kerajaan atas kehendak dan inisiatif DAP yang mendesak mahu siasatan terhadap perkara itu dijalankan. Kerajaan melihat desakan itu sebagai relevan untuk kepentingan rakyat di negara ini,” katanya lagi. – 25 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Ali Along · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan