Biar jawatan terkorban demi integriti, kata Syed Saddiq


Mohd Farhan Darwis

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau rela berhadapan tentangan dari dalam partinya sendiri sehingga mengorbankan jawatan politiknya demi memperjuangkan integriti.

Ketua Armada Bersatu itu berkata, beliau tidak akan tunduk kepada usaha untuk menyingkirkannya dari jawatan itu oleh ketua-ketua bahagian parti itu kerana menolak amalan politik naungan.

“Saya menghormati pandangan beberapa ketua bahagian itu, itu pandangan mereka. Cuma sebab utama saya menyertai dunia politik adalah untuk membersihkan politik dan walau apapun terjadi kepada karier politik saya.

“Pendirian tegas dan prinsip tetap harus dijulang, tidak guna masuk politik dan menjawat jawatan yang tinggi tetapi akhirnya melupakan asal perjuangan yang menyebabkan saya menyertai dunia politik,” katanya.

Beliau mengulas rancangan segelintir pemimpin dalam parti yang mahu menggulingkan beliau atas kenyataaanya menolak saranan agar ketua bahagian diberikan projek kerajaan.

Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, pendirian Armada agar ketua-ketua bahagian tidak diberikan projek kerajaan itu turut disokong pucuk pimpinan Bersatu.

“Tapi yang bagusnya sudah ada kenyataan yang agak tegas daripada ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti iaitu (Pengerusi Bersatu) Dr Mahathir (Mohamad) semalam, beliau sudah keluarkan satu kenyataan yang agak tegas.

“Pada masa yang sama pagi tadi perbincangan bersama (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin, dan (Timbalan Presiden Bersatu) Mukhriz Mahathir juga bersetuju dengan pandangan Armada,” kata Syed Saddiq.

Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini meminta parti itu menggunakan kedudukan dalam kerajaan untuk mendapatkan projek bagi membantu ketua-ketua bahagian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

Kenyataan-kenyataan pemimpin tertinggi itu katanya membuktikan mereka mahu menamatkan amalan politik naungan.

“Saya rasa dalam bab ini pimpinan tertinggi bersama dengan kami yang menunjukkan bahawa kita nakkan budaya politik yang baru di mana politik naungan harus dihentikan,” kata  Syed Saddiq.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang ini.

Ia merupakan rententan daripada ucapan Syed Saddiq di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada hujung minggu lalu yang menolak gesaan mereka untuk mendapat kontrak dari kerajaan.

Bagaimanapun, Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Ab Rahman dalam ucapan di perhimpunan sama menyifatkan bantahan seperti itu “bodoh” kerana menurutnya Bersatu perlu menggunakan sumber kerajaan dan apa cara sekalipun untuk berkuasa.

Dr Mahathir dalam kenyataannya semalam menyifatkan pandangan Abdul Rashid yang meminta pemberian kontrak dibuat kepada pemimpin parti itu adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili Bersatu.

Perdana menteri itu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya perlu menurut permintaannya walaupun ia mendapat sambutan meriah perwakilan pada persidangan tahunan parti baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan baharu juga tidak akan mengamalkan dasar kerajaan lama yang menyalahguna Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan memberi tender kepada kroni.

“Itu bukan keputusan parti, dia (Abdul Rashid) suarakan pendapat dia dan kita tak pegang pada itu. Kita tak mahu buat macam Najib (Razak) buat, bagi (projek) kepada kawan-kawan.

“Kita akan pertimbang semua projek diberi ikut tender, siapa ada kebolehan boleh masuk tender dan kalau boleh buat terbaik kita bagi,” katanya.

Para pemimpin bahagian parti itu semalam bagaimanapun tetap tidak berpuas hati dengan pendirian Syed Saddiq dan menggelarnya “kurang ajar”.

Kalangan pemimpin berkenaan turut dilaporkan berikrar untuk menyingkirkannya daripada parti.  – 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen