DR Mahathir menyifatkan kenyataan seorang naib presiden Bersatu yang meminta pemberian kontrak dibuat secara kronisme adalah pandangan peribadi beliau dan tidak sama sekali mewakili parti.
Perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya perlu menurut permintaan Abdul Rashid Ab Rahman walaupun tuntutan beliau itu mendapat sambutan meriah perwakilan pada persidangan tahun parti baru-baru ini.
Dr Mahathir berkata kerajaan baharu juga tidak akan mengamalkan dasar kerajaan lama Barisan Nasional (BN) yang menyalahguna Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan memberi tender kepada kroni.
“Itu bukan keputusan parti, dia (Abdul Rashid) suarakan pendapat dia dan kita tak pegang pada itu. Kita tak mahu buat macam Najib (Razak) buat, bagi (projek) kepada kawan-kawan.
“Kita akan pertimbang semua projek diberi ikut tender, siapa ada kebolehan boleh masuk tender dan kalau boleh buat terbaik kita bagi,” katanya.
Abdul Rashid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu di Putrajaya baru-baru ini berkata peranan JPP perlu dikembalikan supaya sistem itu dapat memanfaatkan ketua bahagian dan ketua cawangan supaya mereka dapat ‘memulangkan’ semula faedah yang diperoleh demi kebaikan masyarakat setempat.
Beliau dilaporkan berkata dengan mengembalikan semula peranan JPP, segala projek pembangunan dapat disalurkan kepada ketua bahagian dan ketua cawangan.
Kenyatan beliau itu turut mengundang kritikan daripada parti komponen PH dan kumpulan antirasuah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).
Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata pihaknya berasa kurang senang dengan permintaan yang disuarakan oleh Abdul Rashid.
“Bersatu perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mengingatkan Abdul Rashid kerana mengeluarkan usul sedemikian yang hanya mengheret Malaysia seperti di bawah pentadbiran Umno.
“Tindakan ke atas Abdul Rashid akan menunjukkan kredibiliti parti itu dalam mengendalikan isu sedemikian. Parti komponen PH tidak boleh mewarisi gaya politik Umno,” katanya. – 1 Januari, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen