Malaysia, sungutan lama dalam bekas baharu


Jahabar Sadiq

Ramai yang beranggapan tugas mereka menumbangkan BN yang dikaitkan dengan kleptokrasi menerusi PRU14 sudah selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019.

BERSEJARAH. Itulah tahun 2018 buat Malaysia, dan dijangka begitu juga untuk 2019.

Rakyat Malaysia melakukan perubahan bersejarah dalam 55 tahun dengan menukar kerajaan sama ada dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) atau dengan tidak mengundi pada 9 Mei. Pilihan itu menjadi mudah disebabkan dua orang – Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak.

Dr Mahathir membina Malaysia, Umno dan Barisan Nasional yang dirosakkan Najib. Umno parti utama yang membuat rundingan Merdeka, pembentukan Malaysia, membawa industrialisasi, modernisasi, kemakmuran dan menjadi Perikatan/BN kerajaan yang paling lama memerintah di dunia.

Sewaktu pentadbiran Dr Mahathir, ramai mencari duit dengan membuat keuntungan dan hampir semua orang gembira dengan cara ini.

Pada masa Najib pula, ia dibuat dengan cara hutang yang masih perlu dibayar – kini dan hampir selama-lamaya, dan hampir semua orang marah.

Namun pilihan rakyat pada 9 Mei ini membawa kita kembali ke 1998. Ini saat tegang di antara seorang perdana menteri berwawasan yang dihambat masa dan seorang bakal pengganti yang mengamal nilai Asia dan demokrasi tetapi ada kelemahan peribadi.

Ia juga memberi kesedaran bahawa rakyat Malaysia menyingkir Kabinet yang tidak cekap dan pengampu dan memilih para menteri yang mentah dan tidak mampu melihat gambaran besar yang dituntut oleh perubahan.

Idea utama Malaysia adalah kemakmuran dan pembangunan untuk semua, dan tidak merosakkan alam yang menjadikan Malasyia salah satu negara paling subur dan indah, tidak terusik dengan apa-apa bencana alam kecuali satu.

Manusia.

Kita bertanggungjawab ke atas segala bencana di Malaysia. Kerajaan mungkin sudah bertukar pada 9 Mei tetapi kita masih percaya dunia mesti membeli minyak sawit untuk memastikan pekebun kecil dapat menyara hidup.

Mungkinkan adalah tanaman lain boleh diusahakan? Mungkin dunia melihat minyak sawit bukan saja tidak sihat kepada manusia tetapi kos ekonomi itu tidak dapat menjadi alasan untuk menambak hutan paya, menarah bukit dan hutan berusia puluhan ribu tahun yang mengandung flora dan fauna dengan kepelbagaian paling tinggi di dunia.

Adakah kita perlu turut haramkan merokok di gerai dan kedai makan tetapi membenarkan tempat-tempat ini menghidangkan makanan tidak sihat 24 jam sehari?

Apakah keutamaan kita? Paru-paru yang sihat tetapi salur darah tersumbat dalam tubuh yang menderita kencing manis?

Adakah kita masih perlu kekalkan subsidi, rebat dan pemberian wang sedangkan negara lain dalam wilayah ini seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia menyertai Thailand menerajui ekonomi tanpa banyak bantuan daripada kerajaan?

Kita mahu sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi ia akan menaikkan harga ke atas hampir segala-galanya, termasuk cukai. Tiada apa yang percuma, tiada perkara yang menjadi hak kelayakan dan kerajaan perlu menegaskan perkara ini.

Adakah kita patut membincangkan mengenai pendidikan dari sekolah rendah ke peringkat pengajian tinggi atau pilihan pengajikan vokasional/teknikal dalam abad ke-21 jika pihak berkuasa masih memfokuskan pada pengajian agama?

Sebenarnya rakyat yang membuat perubahan pada 9 Mei berpeluang untuk memastikan kerajaan baharu ini jujur dan bertanggungjawab. 

Rakyat patut mempersoalkan setiap pergerakan mereka, untuk memastikan ketelusan dan menghapus rasuah dan juga kecenderungan untuk mengintip dan mengurus kehidupan peribadi warganya.

Jika tidak, satu-satunya perubahan yang berlaku adalah menghumban keluar kerajaan yang mengambil terlalu banyak dan memilih kerajaan yang bercakap terlalu banyak.

Dan Malaysia akan terus diisi dengan sungutan lama dalam bekas baharu.

*Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.*


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen