Anwar jawab kritikan Azmin, pertahan lantikannya ke MPP


Christopher Rabin

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Timbalannya Azmin Ali supaya jadi contoh guna saluran betul untuk kritik isu melibatkan parti pada satu majlis di Port Dickson hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 29 Disember, 2018.

ANWAR Ibrahim mempertahankan pelantikan beberapa individu ke Majlis Pimpinan Pusat PKR, selepas dikritik secara terbuka oleh Timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Presiden PKR itu berkata, beliau mahu parti itu melibatkan semua pihak, selepas pemilihan parti yang kecoh dengan pelbagai insiden dan memecahbelahkan ahlinya.

“Itu pandangan peribadi dia. Saya mahu jadi inklusif.

“Dia hendak beberapa orang tidak disenaraikan. Saya mahu semua orang masuk,” katanya kepada The Malaysian Insight, ketika ditemui di Port Dickson, hari ini.

“Kita tidak boleh nafikan ada keperluan untuk melibatkan semua orang. Saya ambil mereka daripada kumpulan dia (Azmin) dan kumpulan Rafizi,” tambahnya.

Anwar menjelaskan beliau menghargai kritikan namun menasihati timbalannya agar jadi contoh baik kepada ahli parti dengan menggunakan saluran komunikasi yang betul.

“Nasihat saya kepada dia, guna saluran yang betul, jadi contoh yang baik. Bawa ke dalam mesyuarat,” katanya.

Tidak lama selepas membuat kenyataan itu, Anwar mengeluh tentang sikap sesetengah pihak yang lebih sibuk berpolitik daripada memberi perhatian kepada soal ekonomi.

“Kalaulah sesetengah orang lebih fokus untuk mengembangkan ekonomi, dan kurang berpolitik…,” tulisnya.

Azmin adalah menteri hal ehwal ekonomi dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad.

Pada pemilihan yang sengit dan penuh drama antara Julai dan November lalu, Azmin yang jadi timbalan presiden sejak 2010 dicabar oleh Rafizi Ramli.

Anwar semalam mengumumkan pelantikan Rafizi sebagai salah seorang daripada tiga naib presiden dilantik, selepas kalah pemilihan timbalan presiden.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mendakwa pemilihan MPP dilakukan Presiden Anwar Ibrahim tidak berdasarkan merit, mencetuskan pergolakan baharu parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018.

Azmin dalam kenyataannya hari ini menggesa Anwar meneliti semula beberapa pelantikan jawatan dalam MPP yang diumumkan selepas mesyuarat badan parti itu semalam.

Katanya, mereka yang dilantik itu tidak mencerminkan kehendak ahli dan tidak akan memajukan parti.

Beliau juga mempertikai merit beberapa individu yang dilantik, termasuk keputusan Anwar mengekalkan Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung. – 29 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen