MENTERI Pelancongan Dan Kebudayaan Nazri Aziz hari ini menyatakan sokongannya terhadap langkah kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kejadian Memali.
Rakyat Malaysia perlu tahu mengapa kerajaan bertindak sehingga menyebabkan 18 orang kehilangan nyawa, katanya.
Nazri yang ketika kejadian itu berada dalam Pemuda Umno berpendapat kerajaan bertindak “kasar” dalam menangani tragedi itu.
“Saya sokong RCI ditubuhkan. Saya rasa tindak balas kerajaan (ketika itu) menangani hal itu terlalu kasar.
“Penggunaan kekerasan tidak sepadan dengan pemimpin PAS Ibrahim Mahmood (Ibrahim Libya) dan pengikut-pengikutnya.
“Mereka semua orang kampung, bukannya pengganas. Mereka tak sepatutnya ditembak,” kata Nazri selepas melancarkan Projek Pasareka di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur hari ini.
Nazri berkata rakyat Malaysia ingin tahu apakah yang mendorong kepada tindakan kerajaan itu dan siapa yang memberikan arahan.
“Kita tak minat nak ambil tahu punca kejadian, kita cuma berminat ke atas tindakan kerajaan menangani situasi itu.
“Kita nak tahu siapa yang beri arahan. Saya rasa Dr Mahathir perlu jawab,” katanya.
Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir sebelum ini menyalahkan tragedi Memali kepada “Amanat Hadi”.
Empat anggota polis dan 14 orang awam terbunuh apabila pasukan keselamatan bertempur dengan pengikut Ibrahim Libya di Memali.
Katanya, siasatan perlu tertumpu kepada Hadi yang mempunyai kaitan rapat dengan tragedi itu, kerana menurutnya, amanat itu menggalakkan pengikut Ibrahim untuk bangkit menentang kerajaan, menggelarkannya sebagai “jihad” dan mereka yang terbunuh dianggap mati syahid.
Nazri berkata satu-satunya alasan mengapa beliau merasakan RCI perlu diadakan adalah kerana Amanah Hadi.
“Amanat Hadi mungkin jadi punca tetapi tindakan kerajaan ketika itu tidak perlu sampai orang terbunuh. Kita tidak berminat dengan punca kerana ia boleh jadi (unsur) politik.
Amanat Hadi merujuk kepada ucapan Hadi pada 7 April 1981 yang mengisytiharkan Umno dan Barisan Nasional sebagai “kerajaan kafir” yang memerintah seperti penjajah.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan bersetuju yang Hadi wajar dipanggil memberi keterangan kepada RCI sekiranya ia ditubuhkan.
Katanya ini bagi membolehkan Hadi menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di Memali dan juga menjawab persoalan mengenai peranannya dalam tragedi itu.
Menyentuh gesaan Musa Hitam supaya RCI ditubuhkan selepas pilihan raya umum, Nazri berkata terpulang kepada Kabinet bagi memutuskan sekiranya ada keperluan untuk penubuhan suruhanjaya siasatan itu.
“Itu bukan keputusan dia (Musa), ia keputusan kami dan kami akan putuskan. Jika dia cakap buat lepas pilihan raya ia sudah jadi (unsur) politik.”
Musa sebelum ini mencadangkan supaya RCI Memali ditubuhkan selepas pilihan raya umum bagi menghalang isu itu disalah guna ahli politik.
Katanya, masa yang sesuai perlu dipilih untuk penubuhan suruhanjaya itu untuk memastikan ia memenuhi peranannya, dan tidak hanya sekadar agenda politik jangka pendek pihak tertentu.
Kata Nazri lagi, beliau percaya perlu ada penyelesaian untuk isu itu dan mereka mahu mengetahui apa yang menyebabkan tragedi itu berlaku.
“Jika Ibrahim Libya ada ‘senjata pemusnah’ dan (kerana itu) kerajaan bertindak sebegitu, kita tidak tahu. Jika dia ada dan (kerana itu) kerajaan bertindak begitu, jadi ia (tindakan yang) betul.”
Pada Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata kerajaan bersedia menubuhkan RCI untuk menyiasat tragedi itu sekiranya ada permintaan mana-mana pihak, termasuklah keluarga mangsa. – 24 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan