Keluar kata ugutan, polis tahan Azwanddin


Presiden JMM Azwanddin Hamzah ketika berucap ketika menyertai himpunan aman untuk menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar memecat Waytha Moorthy. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Disember, 2018.

PRESIDEN Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah disiasat polis hari ini selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur ugutun ketika berucap pada satu perhimpunan aman semalam.

Kumpulan Melayu berhaluan kanan itu dalam kenyataannya berkata Azwanddin ditahan di Dato Keramat hari ini dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Klang Utara.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Asisten Komisioner Fadzli Ahmat bahawa Azwanddin ditahan pukul 2.40 petang di pusat beli belah Keramat Mall.

Fadzli berkata Azwanddin kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan ugutan jenayah.

Jika didapati bersalah, Azwanddin boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga tujuh tahun.

“Polis membuka siasatan ke atas beliau mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan ugutan jenayah,” kata Fadzli kepada Malaysiakini.

Fadzli berkata polis akan memohon perintah reman ke atas Azwanddin di Mahkamah Klang pukul 9 pagi esok dan beliau akan bermalam di lokap sehingga esok.

Semalam, lebih 1,500 penunjuk perasaan berkumpul di Klang semalam bagi menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Waytha Moorthy. 

Azwanddin dalam ucapannya berulang kali menggunakan kenyataan menghina Menteri Perpaduan P. Waytha Moorthy.

Aktivis itu turut mengancam untuk menyerang balai polis jika tiada tindakan diambil berhubung kematian anggota bomba Muhamamd Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan kuil di Seafield.

Awal hari ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin dalam satu kenyataan hairan dengan cara berfikir Azwanddin sehingga kerap membuat kenyataan yang kontroversi dan berbaur perkauman.

“Saya amat kesian dengan presiden Jaringan Melayu Malaysia yang agak ‘ketagih’ mengeluarkan ucapan yang bersifat kontroversi dan berbaur perkauman serta macam sengaja untuk wujudkan keresahan dan huru hara di negara kita yang aman damai ini,” katanya. – 26 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Padam muka

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan