Anwar gesa pemimpin Pakatan henti berbalah


Presiden PKR Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan antara pemimpin Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 201

ANWAR Ibrahim menggesa pemimpin Pakatan Harapan menghentikan segera pertelingkahan semasa sendiri.

Presiden PKR itu berkata segala tindak-tanduk pemimpin kini menjadi perhatian umum dan sebarang perbalahan boleh menutup peluang Pakatan untuk membuktikan kemampuan mereka membela nasib rakyat.

Malah tegas beliau, pemimpin Pakatan perlu memberikan tumpuan khusus ke arah menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan keselesaan rakyat.

“Rakyat sentiasa memerhati kita, dan kita punyai ruang dan peluang yang sedikit sahaja untuk membuktikan Pakatan Harapan benar-benar mampu merubah nasib rakyat dan negara.

“Perbalahan terbuka sama ada di antara atau di dalam parti perlu dihentikan segera.

“Pada masa yang sama, saya gesa agar muafakat Pakatan Harapan diperkukuh melalui saluran parti,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu beberapa jam selepas pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyuarakan gesaan sama supaya pemimpin Pakatan berhenti bertikam lidah.

Penasihat DAP itu berkata tiada siapa yang mahu kebebasan bersuara disekat, kerana itu menjadi syarat asas untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang demokratik.

Pertikaman lidah antara beberapa pemimpin Pakatan menjadi perhatian umum sejak minggu lalu berhubung isu tertentu.

Antaranya desakan sayap pemuda Bersatu, Armada yang menuntut Menteri Perpaduan P. Waytha Moorthy meletak jawatan kerana gagal menangani isu rusuhan kuil di Seafield pada bulan lalu.

Ekoran itu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menyalahkan ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana membenarkan sayap pemuda Bersatu itu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mendesak pemecatan Waytha Moorthy.

Bagaimanapun Syed Saddiq membalas kenyataan itu dengan menyatakan beliau tidak akan meminta maaf dan bersedia untuk dikenakan tindakan jika apa yang dilakukannya adalah salah.

Selain itu, khabar angin yang mengatakan berlakunya perebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar susulan isu lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen Umno baru-baru ini.

Beberapa ahli Parlimen yang meninggalkan Umno sebelum ini telah menyertai Bersatu, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa lebih ramai akan menyertai parti pimpinan perdana menteri itu bagi mengukuhkan kedudukan dalam Parlimen.

Malah perkembangan itu menyaksikan satu lagi kejutan apabila Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meletak semua jawatan dalam PKR kerana kurang gembira dengan isu lompat parti itu.

Bapanya, Anwar turut mengesahkan bahawa Izzah kecewa apabila melihat ahli Parlimen Umno bertindak keluar parti, dipercayai mahu menyelamatkan diri daripada dihukum dan mengukuhkan kedudukan parti politik lain. – 22 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen