Kit Siang minta pemimpin Pakatan henti bertikam lidah


Setiap kebimbangan atau rasa tidak puas hati perlu dibincangkan dengan parti masing-masing dahulu, kata Lim Kit Siang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2018.

LIM Kit Siang hari ini meminta pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) berhenti daripada terus bertikam lidah tanpa berbincang terlebih dahulu dengan parti masing-masing.

Penasihat DAP itu berkata tiada siapa yang mahu kebebasan bersuara disekat, kerana itu menjadi syarat asas untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang demokratik.

“Atas sebab inilah, saya menyeru semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang telah membangkitkan kebimbangan orang ramai mengenai perpaduan dan akal budi dalam PH, supaya berhenti dan mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) dalam melahirkan kritikan atau menyerang pemimpin PH lain.

“Saya menyeru semua pemimpin PH berhenti menyerang secara terang-terangan terhadap pemimpin dari rakan-rakan parti dalam PH tanpa terlebih dahulu berbincang atau mendapat kebenaran daripada parti masing-masing,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lim, jika SOP ini gagal diikuti, maka Majlis Presiden PH perlu mengusahakan mekanisme yang lebih baik supaya pemimpin-pemimpin mereka dapat melahirkan kebimbangan atau rasa tidak puas hati terhadap prestasi atau kenyataan pemimpin dari parti komponen PH.

Ini supaya matlamat PH untuk membina Malaysia baharu tercapai, katanya.

Kenyataan beliau itu menyusul selepas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff mengingatkan bahawa perjanjian dalam PH bakal terjejas jika pertikaman lidah antara pemimpin dalam pakatan itu masih berterusan.

Menerusi Twitter hari ini, Rais menggesa rakan seperjuangan dari partinya dan Pakatan untuk mengenepikan ego masing-masing. – 22 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen