Pemimpin Bersatu beri amaran perbalahan hanya rugikan Pakatan


Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu Rais Hussin memberi peringatan kepada pemimpin Pakatan susulan perbalahan sesama sendiri sejak seminggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2018.

PERJANJIAN dalam Pakatan Harapan (PH) bakal terjejas jika pertikaman lidah antara pemimpin dalam pakatan masih berterusan, demikian amaran yang disuarakan Rais Hussin Mohamed Ariff.

Dalam beberapa ciapan Twitter hari ini, Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu itu menggesa rakan seperjuangan dari partinya dan Pakatan untuk mengenepikan ego masing-masing.

Katanya pemimpin PH sepatutnya memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Pertikaman lidah dalam kalangan Pakatan Harapan boleh mengundang bencana. Sudah tentu, kita meraikan perbezaan pandangan tetapi sikap menuding jari dan menyerang antara satu sama lain adalah tindakan yang melulu!” tulisnya.

Rais berkata ahli politik Pakatan perlu memasuki ‘zon bebas ego’ dan menangani isu yang dihadapi negara.

“Ya, zon bebas ego! Tunjukkan kekuatan dan semangat dalam membawa masalah yang dihadapi rakyat, bukannya menonjolkan diri sendiri,” katanya.

Beliau memberi peringatan itu susulan perbalahan antara pemimpin Pakatan berhubung beberapa isu semasa.

Rakan seperjuangan Rais, Syed Saddiq Abdul Rahman yang juga Ketua Armada Bersatu dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy terlibat dalam siri pertikaman lidah berhubung P Waytha Moorthy.

Syed Saddiq meminta Menteri Perpaduan itu meletak jawatan ekoran cara beliau mengendalikan insiden rusuhan Kuil Sri Mahamariaman Seafield.

Orang kanan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan dari Bersatu, turut membidas Ketua PKR Kedah Johari Abdul.

Johari mendakwa pengerusi Bersatu tidak tahu mengatasi masalah yang dihadapi negara selepas menjatuhkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Khairuddin membalas kenyataan itu dengan mendakwa wujud gerakan untuk menggulingkan perdana menteri. – 22 Disember, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen