PERDANA Menteri Najib Razak dijangka melawat Rumah Putih bulan depan, dan kesempatan ini akan digunakan untuk memperlihatkan komitmen Malaysia dalam memerangi aktiviti keganasan.
The Malaysian Insight difahamkan antara agenda dalam lawatan ke Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan bermula dari 10 hingga 12 September itu termasuklah kunjungan Najib ke memorial peristiwa 911 di New York pada 11 September, 16 tahun selepas kejadian serangan itu berlaku.
Sementara itu, di dalam negara lawatan Najib itu dilihat sebagai usaha mengukuhkan sokongan terhadapnya dan bagi menggagalkan dakwaan pembangkang yang beliau adalah individu dikehendaki di AS.
Perdana menteri dijadualkan bertemu beberapa ahli politik kanan daripada kedua-dua parti politik di AS semasa lawatan ke Washington DC.
Lawatan berkenaan adalah susulan desakan Washington kepada Malaysia untuk berkongsi bahagian perisikan mengenai Korea Utara dan menyekat keluar senjata yang melalui Malaysia.
Difahamkan Putrajaya mahu mengumumkan kunjungan itu hanya selepas dua acara utama, temasya Sukan SEA ke-29 dan sambutan Hari Kebangsaan, bagi memperoleh liputan luas dalam media.
Lawatan itu juga dibuat ketika penyiasatan jenayah oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) AS terhadap wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kes sivilnya, DoJ mendakwa antara 2009 dan 2015, lebih AS$4.5 bilion milik 1MDB diselewengkan oleh pegawai tinggi dan sekutu firma pelaburan itu.
Tahun lepas, DoJ memfailkan guaman pelucuthakan aset sivil untuk merampas lebih AS$1 bilion aset yang dibeli dengan menggunakan dana yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.
Pada Jun, DoJ memfailkan saman lain untuk merampas aset AS$540 juta, termasuk sebuah kapal layar AS$165 juta Equanimity yang dimiliki Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, dan hak filem komedi Dumb and Dumber To yang dihasilkan oleh Red Granite, produksi yang dimiliki oleh Riza Aziz, anak tiri Najib.
Isteri Najib, Rosmah Mansor, juga dikaitkan dengan kalung berlian berwarna merah jambu 22 karat, yang didakwa berharga AS$27.3 juta (RM117 juta), yang dibeli oleh Low sebagai hadiah kepada isteri “Malaysian Official No.1” (MO1).
Seorang menteri mengakui MO1 adalah Najib. – 23 Ogos, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan