Sekolah akan tumpu mata pelajaran penting, kata PM


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bercakap kepada pemberita selepas ditemui pada majlis bersama Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid di Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2018.

DR Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan merombak sukatan pelajaran sekolah untuk memberi tumpuan kepada mata pelajaran yang penting untuk kegunaan pelajar di masa hadapan.

Jelasnya ia perlu dilakukan kerana sukatan pelajaran sekolah pada masa ini hanya berjaya menghasilkan golongan “ulama yang baik” yang tidak sesuai dengan realiti dalam pasaran kerja.

“Sebab itu kerajaan baru ini, akan menyemak kembali kurikulum sekolah, sekolah nasional mereka belajar agama Islam dan tidak belajar benda lain. 

“(Sebab) itulah pelajarnya tidak begitu cekap dengan subjek yang berguna untuk mendapatkan pekerjaan.

“Tetapi sekolah menghasilkan ulama yang baik, bila ramai ulama, mereka akan berbeza pandangan dan akan bergaduh sesama sendiri,” kata Dr Mahathir.

Katanya negara akan mundur sekiranya pelajar yang dididik di sekolah tidak mampu menguasai bahasa lain dan tidak diajar mata pelajaran penting.

“Kalau mahu berkembang rakyat kena berpendidikan, bukan hanya baca doa tapi juga bahasa lain. Kalau tidak kita akan terkebelakang.

“Kita akan ada sekolah nasional yang ajar subjek penting yang berguna untuk mereka,” kata Dr Mahathir semasa pertemuan dengan Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid di Kuala Lumpur.

Perdana meneri difahamkan menyatakan hasrat untuk merombak sistem pendidikan itu dengan menyeluruh selepas melihat jadual pembelajaran yang digunakan di sekolah.

Dr Mahathir dilaporkan hairan kerana begitu banyak masa diperuntukkan bagi mata pelajaran pengajian agama, ketiga paling tinggi selepas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Namun beliau melihat generasi yang dilahirkan melalui sistem persekolah itu tidak juga ada nilai dan integriti yang baik dan budaya kerja orang Malaysia juga tidak bagus

The Malaysian Insight melaporkan perdana menteri meneliti jadual waktu sekolah itu sebelum lawatannya ke Jepun pada awal bulan lalu.

Sekembalinya dari kunjungan itu, perdana menteri mengarahkan Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk menyemak semula kurikulum dan jadual pembelajaran itu.

Semakan itu difahamkan dengan matlamat melahirkan rakyat yang berpegang pada nilai hidup yang baik termasuk etika dan budaya kerja yang tinggi.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen