Rating Dr Mahathir jatuh, ramai hilang sabar, Rafizi beri amaran


Rafizi menasihati Pakatan Harapan supaya mereka menumpukan fokus dalam aspek ekonomi rakyat yang mendesak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2018.

KADAR penerimaan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaannya telah menurun, sebahagian besarnya disebabkan kekecewaan rakyat dengan kerajaan kerana gagal kurangkan kos sara hidup yang tinggi di samping gagal menunaikan janji pilihan raya, kata tokoh PKR Rafizi Ramli.

Menurut kaji selidik yang dipetik Rafizi, rating penerimaan Dr Mahathir sebagai perdana menteri telah menjunam jatuh sehingga 53 peratus sepanjang enam bulan lalu, ia menurun sebanyak 19 peratus daripada 72 peratus pada bulan Jun.

“Terdapat kejatuhan konsisten 20% di kalangan semua kaum - orang Melayu (dari 66% hingga 45%), Cina (dari 87% hingga 65%) dan India (dari 84% hingga 64%),” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya hari ini.

Beliau menambah bahawa di beberapa negeri, menteri besar yang baru dipilih, tidak dapat namakan dengan betul oleh beberapa sampel responden, mendapat rating kadar penerimaan yang lebih tinggi daripada perdana menteri.

“Dari kaji selidik pertama yang saya jalankan sejurus PRU14 hingga dapatan dua minggu lalu, responden semua kaum menamakan beban sara hidup dan janji pilihanraya sebagai isu paling utama yang mereka mahu kerajaan persekutuan tangani.

“Selepas bersabar beberapa bulan, rakyat mula hilang sabar dengan apa yang dilihat alasan demi alasan yang diberikan pentadbiran PH.

“Kita memang tidak boleh melaksanakan semua janji dalam masa 100 hari (percayalah, tidak ada pun rakyat Malaysia yang berkira dengan tempoh 100 hari itu), tetapi paling kurang pentadbiran PH mestilah dilihat benar-benar fokus mengusahakan janji-janji itu ditunaikan (kalau pun di masa hadapan).

Beliau berkata orang ramai akan terus menjadi resah jika tidak ada peningkatan yang jelas mengenai soal ekonomi di bahagian akar umbi, beliau turut memberi amaran bahawa di beberapa kawasan, keadaan semakin buruk selepas PH mengambil alih.

“Orang ramai tidak mengharapkan satu keajaiban segera; mereka mahu lihat usaha bersungguh-sungguh untuk membantu hidup mereka.

“Setakat ini, mereka lebih banyak mendengar alasan dari kerajaan persekutuan.

“Hanya ada satu cara yang bertanggungjawab ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu dan sederhana: pentadbiran PH mesti memberi tumpuan kepada platform ekonomi, bukannya terjebak ke dalam polemik perkauman dan keagamaan sempit.

“PH mesti kembali berusaha bersungguh-sungguh untuk memenuhi janji-janji pilihanraya.” katanya.

Beliau menambah bahawa PH mesti menunjukkan kesungguhan dalam menjadikan hidup lebih baik bagi rakyat Malaysia.

“Saya memberi pesan agar pimpinan PH meneliti perkara-perkara ini dan membetulkan fokus kerajaan persekutuan.” katanya. – 19 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Benar!

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Muhammad Nazirul Asraf Md Nor · Ulasan