Rafizi tahu semua perkara, sindir Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengulas tentang kenyataan Rafizi Ramli kononnya penerimaan rakyat ke atas kerajaan dan kepimpinan beliau merosot teruk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Disember, 2018.

DR Mahathir Mohamad menyindir Rafizi Ramli yang mengumumkan kajian mendakwa tahap penerimaan rakyat ke atas kerajaan dan kepimpinan perdana menteri itu merosot teruk.

Ahli Parlimen Langkawi itu dengan sinis berkata, ramalan pengasas badan kajian Invoke itu sememangnya benar.

“Rafizi memang tahu apa akan jadi, dia punya ramalan pasal pilihan raya umum ke-14 pun sangat tepat,” ejek Dr Mahathir ketika ditemui pemberita di ibu negara malam tadi.

Kajian Invoke itu mendakwa kemerosotan tersebut sebahagian besarnya disebabkan kerajaan gagal tunaikan janji kempen pilihan raya dan mengurangkan kos sara hidup.

Rafizi yang juga bekas naib presiden PKR mendakwa kajian badan itu menunjukkan populariti Dr Mahathir menjunam kepada 53%  berbanding 72% pada Jun lalu. 

Dr Mahathir bagaimanapun mengejek kewibawaan kajian berkenaan kerana ramalan Invoke sewaktu kempen PRU14 antara lain jauh tersasar.

Badan kajian itu antara lain meramalkan PH hanya akan menang tipis dan merampas tiga negeri – Kedah, Perak dan Johor.

Invoke juga meramalkan PAS kalah teruk, yang juga meleset kerana parti Islam itu tetap menang 18 kerusi Parlimen, selain mengekalkan Kelantan dan merampas semula Terengganu.

Perdana menteri bercakap kepada pemberita selepas  bersama Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid malam tadi. – 22 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • SYABAS TUN MAHATHIR yang telah menyelamatkan Melayu dalam Malaysia. Pada 4 Feb 1988 UMNO diharamkan Mahkamah kerana krisis yang amat serius di kalangan Melayu, Kebijaksanaan Tun telah menghidupkan semula UMNO atas nama "UMNO BARU" yang selepas beberapa tahun nama tukar kepada nama asal UMNO menjadi UMNO pada tahun 1995. Tanpa disedari UMNO yang ada sehingga kini adalah UMNO yang ditubuhkan oleh TUN berjaya memerintah sehingga 2018. Menyedari UMNO yang semakin banyak krisis kepimpinan kleptokrasi yang akan kalah pada PRU14, maka TUN MAHATHIR keluar UMNO dan tubuhkan BERSATU pada SEPTEMBER 2016. Demi menyelamatkan MELAYU maka TUN MAHATHIR sanggup melupakan segala sengketa dengan Anwar dan Lim Kit Siang dan seterusnya tubuhkan PAKATAN HARAPAN. Pada PRU14 , PH berjaya kalahkan BN . Kini UMNO akan berevolusi menjadi BERSATU dan selepas itu BERSATU akan berevolusi menjadi UMNO yang lebih berintigriti dan berwawasan. Sebenarnya inilah KEBIJAKSANAAN PEMIMPIN MELAYU dalam mempertahankan kedaulatan MELAYU. Nama parti politik boleh berubah bila bila masa tetapi BOLEHKAH orang Melayu hilangkan motif penubuhan parti iaitu "MEMPERJUANGKAN MELAYU BUMIPUTRA" kepada memperjuangkan "RAKYAT MALAYSIA".

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan