Jumlah pelancong menurun, industri perhotelan tempuh detik sukar


Andrew Chin

Industri hotel Malaysia juga berdepan cabaran sukar ekoran peningkatan pilihan penginapan alternatif di negara ini, termasuk pengendali yang tidak berdaftar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2018.

PENGENDALI hotel tempatan menempuh tempoh sukar ekoran penurunan jumlah kehadiran pelancong terutamanya dari China dan bakal berdepan waktu yang lebih buruk menjelang ketibaan Tahun Baharu.

Walaupun situasi di negara ini tidak seburuk di Thailand, destinasti pelancongan tempatan terus dihimpit masalah kekurangan pelancong semasa musim cuti.

Presiden Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Cheah Swee Hee memberitahu The Malaysian Insight bahawa Malaysia mengalami penurunan jumlah pelancong dari China.

Katanya walaupun kesan terhadap hotel tempatan tidak seburuk industri perhotelan di Thailand, situasi itu tetap dianggap tidak memberangsangkan.

Di Thailand, Persatuan Hartanah Thai mendedahkan penurunan drastik jumlah pelancong China apabila hotel kecil dan sederhana di Bangkok, Phuket, Pattaya dan beberapa destinasi popular pelancongan mengalami kekurangan pelanggan semasa musim cuti.

“Berdasarkan pemahaman saya, penurunan drastik pelancong China di Thailand disebabkan operasi kerajaan Thai membanteras aktiviti ‘zero group fee’ dan tragedi bot di Phuket,” katanya.

‘Zero group fee’ merupakan pakej murah ditawarkan oleh syarikat agensi pelancongan China di Thailand yang merugikan industri pelancongan negara itu.

“Sementara itu, Malaysia sentiasa bergantung kepada penerbangan yang disewa untuk membawa pelancong China ke negara ini.

Menurut presiden Persatuan Hotel Malaysia, kekurangan pelancong dari China ke negara ini memberi kesan kepada industri perhotelan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Disember, 2018

“Namun disebabkan peningkatan kuasa berbelanja pelancong China, mereka kini memilih negara lain seperti Jepun, Korea Selatan, Eropah dan benua Amerika,” kata Cheah.

Beliau berkata industri hotel Malaysia juga berdepan cabaran sukar ekoran peningkatan pilihan penginapan alternatif di negara ini, termasuk pengendali yang tidak berdaftar.

Berhubung cabaran mendapatkan pelanggan, Pengarah MYhome Hotel Wu Kiat Ming, yang memiliki lapan hotel bajet, berkata pengunjung di hotelnya menurun kira-kira 30 hingga 50% dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

Katanya hotel di Kuala Lumpur sahaja menyaksikan penurunan sebnyak 40% hingga 50%.

“Pasaran hotel amat sikit buat masa ini dengan kadar penginapan di Kuala Lumpur menurun secara drastik.

“Saya difahamkan, fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia. Industri hotel di negara lain juga berdepan masalah sama,” kata Wu.

Beliau berkata pihak hotel hanya boleh menawarkan promosi harga bilik yang murah dengan harapan menarik lebih ramai pelanggan.

Katanya walaupun mendapat pulangan yang rendah, tetapi keadaan itu lebih baik daripada membiarkan bilik hotel kosong tanpa pelanggan. – 22 Disember, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen