Jangan tanya kami RM1.5 juta, tanah ganti, kata pasukan petugas kuil


Noel Achariam

Save Seafield Temple Task Force berkata wang pampasan dan tanah alternatif kuil Sri Maha Mariamman bukan di bawah jagaan mereka kerana tanggungjawab itu diserah kepada bekas jawatankuasa kuil mengikut persetujuan mahkamah pada 2014. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2018.

PASUKAN petugas kuil Sri Maha Mariamman di Subang berkata kerajaan Selangor sudah tersilap ketika meminta wang pampasan RM1.5 juta dan tapak tanah ganti yang diberikan kepada kuil itu.

Save Seafield Temple Task Force berkata wang pampasan dan tanah alternatif berkenaan bukan berada di bawah jagaan mereka kerana tanggungjawab itu diserah kepada bekas jawatankuasa kuil mengikut persetujuan mahkamah pada 2014.

Setiausahanya, V. K. Regu berkata mereka tidak terlibat dalam perjanjian yang dibuat antara Pengerusi kuil, K. Chellapa dengan pemaju, One City Development Berhad empat tahun lepas.

“Kami tiada kaitan dengan perjanjian itu. Tak pernah terlibat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Isu mengenai tanah di mana kuil itu berada nampak seperti akan selesai selepas campur tangan peguam negara. Kuil tersebut akan kekal di situ dan tanah akan diserahkan kepada tabung amanah di bawah pentadbiran mahkamah.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, kuil perlu memulangkan semula RM1.5 juta yang diterima sebagai pampasan dan tanah alternatif di USJ 23, Subang Jaya, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Keadaan ini menyebabkan pasukan petugas yang menguruskan kuil itu sekarang, berada dalam dilema. Ini kerana wang pampasan dan tanah alternatif yang disebutkan itu bukan berada dalam jagaan mereka.

Menurut Regu, semua dokumen yang berkaitan dipegang oleh Chellapa dan pemaju.

“Apa saja perjanjian yang dibuat adalah antara mereka. Kami tak tahu apa-apa tentang pampasan dan tanah alternatif itu.

“Apa yang kami tahu sekarang ini ialah kuil berada dalam pengawasan AGC (Pejabat Peguam Negara) dan kami sedang berurusan dengan mereka,” kata Regu.

Salah seorang anggota pasukan petugas itu, Elangovan Annamalai, juga berkata Chellapa yang telah menerima pampasan dan hak ke atas tanah kuil.

Katanya, tanggungjawab untuk memulangkan semula wang pampasan adalah di tangan Chellapa, kerana itulah sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan Peguam Negara Tommy Thomas berhubung penyerahan tanah kuil yang mencetuskan rusuhan di Seafield pada bulan lepas.

“Kalau dia (Chellapa) mengelakkan diri dari semua orang kerana sudah menggunakan duit itu, maka dia sekarang jutawanlah,” kata Elangovan.

“Kalau dia tak mahu pulangkan semula duit itu, pemaju patut saman dia.”

Setiausaha Save Seafield Temple Task Force V. K. Regu berkata mereka tidak terlibat dalam perjanjian yang dibuat antara Pengerusi kuil, K. Chellapa dengan pemaju, One City Development Berhad empat tahun lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2018.

The Malaysian Insight telah beberapa kali cuba menghubungi Chellapa tetapi semua panggilan dan mesej teks tidak berbalas.

Dalam penyelesaian yang dicadangkan Thomas, One City akan menyerahkan tanah seluas satu hektar di mana kuil itu sekarang berada kepada tabung amanah di bawah pentadbiran Mahkamah Tinggi. Cadangan itu disambut baik oleh One City.

Tapak kuil itu diserah kepada One City di bawah penghakiman persetujuan di mahkamah pada 11 Mac, 2014.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian memutuskan empat pihak - kerajaan Selangor, One City dan dua individu yang mendakwa mereka adalah pentadbir kuil bersetuju untuk menempatkan semula kuil tersebut. Tapak kuil itu pula diserahkan kepada pemilik, iaitu One City.

Selain itu, One City juga bersetuju untuk memberi RM1.5 juta sebagai pampasan kepada kuil manakala kerajaan Selangor akan menyediakan sebidang tanah ganti yang letaknya kira-kira 3km dari tapak asal.

Pertikaian mengenai penempatan semula kuil yang terletak di USJ25 dekat Subang Jaya itu mencetuskan rusuhan pada 26 dan 27 November lalu di mana sekumpulan lelaki menyerang penganut dan membakar beberapa kenderaan. – 21 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen