Masa untuk Umno maju ke depan


SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid Hamidi kerana berjiwa besar dan mendengar suara akar umbi dengan memberikan kepercayaan kepada Mohamad Hasan selaku timbalan presiden untuk menjalankan tugas-tugas sebagai presiden Umno.

Sebagaimana amanat beliau, saya juga mengharapkan agar segala polemik berkaitan dengan kepimpinan dapat dihentikan dan seluruh pemimpin dan pendokong wadah perjuangan Umno di semua peringkat dari atas sehinggalah ke peringkat akar umbi dapat kembali memperkukuhkan saf dan memfokuskan kepada agenda pembaharuan dan pemerkasaan parti.

Sesungguhnya rakyat dan ummah keseluruhannya amat menantikan dan mendambakan agar Umno benar-benar berubah melalui proses muhasabah dan pengislahan seterusnya  kembali bangkit dengan wajah baru berpaksikan akar perjuangannya yang sejati demi mempertahankan nasib rakyat, martabat agama dan maruah bangsa.

Sekali lagi saya mewakili Pemuda Umno merakamkan ucapan penghargaan setingginya kepada Zahid atas segala sumbangan beliau kepada wadah perjuangan Umno selama ini. Moga Allah memberkati dan merahmati segala sumbangan yang dicurahkan. – 18 Disember, 2018.

* Asyraf Wajdi Dusuki adalah ketua Pemuda Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen