Khianat kawan kalau Bersatu terima Rahim Thamby Chik


MUNGKIN ada antara kita telah lupa akan penderitaan yang ditanggung Pendek Ahmad yang mengetahui cucu perempuannya, Noryati Mohamad Yusop yang ketika itu berumur 14 tahun dirogol. Perogol itu masih bebas berleluasa.

Mungkin juga tak ramai yang ingat pemenjaraan Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika beliau masih seorang wakil rakyat pembangkang pada 1998.

Beliau yang membela penderitaan Noryati dan Pendek pula dihumban ke penjara.

Tetapi keluarga Lim dan keluarga Noryati ingat. Rakyat yang prihatin juga ingat. Semua mereka yang berjuang sejak awal masih ingat.

Rahim Thamby Chik tidak pernah muncul apabila Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk berganding dengan Anwar Ibrahim dalam menyelamatkan negara menentang Umno dan BN.

Perjuangan dan pengorbanan menghasilkan kemenangan rakyat – dan Rahim tidak ada sebarang titik peluh keringat langsung yang menyumbang ke arah perjuangan ini.

Malah, si politikus inilah yang merupakan salah seorang dari “Trio Datuk” yang menyerang Anwar dengan telatah politik fitnah, menayangkan video lucah yang beliau dakwa merakamkan aksi seorang lelaki mirip Anwar mengadakan hubungan seks dengan pelacur.

Permohonan Rahim untuk masuk Bersatu adalah hak beliau sendiri. Tetapi terima atau tidak adalah hak pimpinan parti Bersatu.

Bersatu parti yang kami hormati sebagai rakan seperjuangan, yang berganding bahu, berputih tulang bersama dengan Amanah dan PKR, membebaskan negara kita dari cengkaman Umno BN.

Kita punya setiakawan dan persahabatan yang telah teruji dan tetap kukuh.

Penerimaan Rahim akan dibaca dan ditafsir oleh rakyat sebagai satu pengkhianatan kepada setiakawan dan persahabatan yang kita jalin sepanjang perjuangan.

Harap maklum. – 17 Disember, 2018.

* Howard Lee Chuan How ialah exco pembangunan belia dan sukan, Perak.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • BETUL BETUL BETUL. Bukak balik kes lama tu, sekiranya ada bukti yg UMNO menutup kes tersebut, bwk mereka ke muka pengadilan, hatta Tun M sendiri.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan