TUJUH bulan selepas kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Umno kini berpecah tiga dengan setiap kem membawa hala tuju berbeza ketika ia masih cuba mencari tapak sebagai pembangkang dan sedang berdepan masalah wakil rakyatnya keluar meninggalkan parti.
Satu kem, diketuai Presiden Ahmad Zahid Hamidi, masih bercita-cita mahu membentuk kerajaan melalui kerjasama dengan parti-parti politik lain.
Satu kem lagi, yang dikatakan diketuai bekas naib presiden Hishammuddin Hussein, mahu meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu dan menjadi kerajaan bersama Pakatan Harapan.
Sementara satu lagi kelompok tidak jelas diterajui oleh mana-mana pemimpin mahu kekal jadi pembangkang dan mengukuhkan parti, dan kembali memenangi hati rakyat yang menolak mereka dalam PRU14 lalu.
Kem bentuk kerajaan
Menurut sumber, kem ini diketuai oleh Zahid sendiri yang berselindung di sebalik Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Nazri Aziz. Nazri telah mengadakan pertemuan dengan seluruh pimpinan Umno Bahagian di Selangor sejak minggu lalu pada tiga sesi berasingan mengikut zon.
Dalam program tertutup bagi menerangkan masa depan parti itu, Nazri memaklumkan Umno akan menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8 melalui kerjasama dengan PKR, DAP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Warisan di Sabah.
Pertemuan Nazri dengan pemimpin akar umbi adalah untuk mendapatkan sokongan mereka terutamanya soal kerjasama dengan DAP yang dilihat “pantang” bagi ahli-ahli Umno.
Tindakan Zahid dan Nazri ini mendapat bantahan keras daripada pemimpin dan ahli Umno dan gerakan untuk menurunkan Zahid sebagai presiden Umno semakin rancak kerana kecewa dengan strategi politik itu.

Kem keluar Umno
Gerakan ini diterajui oleh Hishammuddin dan mempunyai beberapa penggerak seperti Hamzah Zainuddin, Noh Omar dan Reezal Merican, kata sumber.
Penggerak-penggerak ini telah menyusun strategi untuk memujuk ahli-ahli Parlimen Umno keluar parti, menjadi ahli Parlimen bebas dan kemudiannya menyertai Bersatu secara berperingkat.
Pada peringkat awal gerakan ini, majoriti ahli Parlimen bersetuju untuk berbuat demikian namun angka itu semakin menurun disebabkan beberapa isu dan tidak yakin dengan strategi Hishammuddin.
Berbeza dengan gerakan Zahid dan Nazri, kumpulan ini tidak meminta sokongan daripada pemimpin akar umbi kerana hanya melibatkan ahli-ahli Parlimen Umno.
Setakat ini, 17 ahli Parlimen Umno sudah keluar parti termasuk bekas menteri Mustapa Mohamed dan Anifah Aman.
Selepas keluar Umno semalam, Hamzah mendedahkan ada 36 ahli Parlimen BN sudah berikrar setia kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga mendakwa ada 10 lagi ahli Parlimen Umno akan keluar parti dalam masa 10 hari ini.
Kem kekal jadi pembangkang
Kumpulan tidak diketuai oleh mana-mana pemimpin parti mahupun ahli Parlimen Umno. Kumpulan ini mahu Umno kekal sebagai pembangkang tanpa mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak sama ada Dr. Mahathir mahupun Anwar.
Beberapa pemimpin dan ahli Parlimen Umno yang berada dalam kumpulan ini mengharapkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dapat ke depan untuk mempertahankan Umno yang semakin terumbang ambing tanpa sebarang hala tuju.
Sentimen yang sama turut dikongsi ahli-ahli akar umbi yang mahukan pemimpin yang fokus kepada proses pemulihan parti tanpa sebarang rundingan untuk membentuk kerajaan.
Mereka yang berada di dalam kumpulan ini menyifatkan tindakan ahli-ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu sebagai proses pemutihan parti dan memudahkan proses pemulihan parti. – 15 Disember, 2018.
Komen