.jpg)
SEMALAM ada berita gempar berkenaan beberapa pemimpin Umno yang mahu bekerjasama dengan DAP dan PKR melalui bakal perdana menteri Anwar Ibrahim.
Ada juga pemimpin-pemimpin Umno yang mahu berkerjasama dengan Bersatu melalui perdana menteri sekarang Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semua pemimpin ini merancang untuk keluar Umno dan masuk Pakatan Harapan (PH) dengan harapan dapat bersama-sama kembali dalam kerajaan dan mungkin mendapat semula jawatan.
Sebagai ahli biasa dan marhaen Umno di akar umbi, saya amat tidak bersetuju dengan langkah ini. Terdapat tiga perkara penting berkenaan langkah yang dicadangkan oleh pemimpin-pemimpin ini:
Pertama, pemimpin-pemimpin yang membawa cadangan ini nampak terang-terangan cepat mengalah.
Hanya tujuh bulan selepas kita kalah pilihan raya, belum apa-apa mereka terus menyerah diri dan menyatakan ayat-ayat mati semangat (defeatist) seperti “baik kita berunding dan lompat parti kerana sukar untuk kita menang kembali”, “Umno sudah tiada harapan” dan sebagainya.
Dalam sejarah dunia yang melibatkan banyak perjuangan, memang selalu ada orang sebegini. Orang begini apabila diseru ke medan peperangan, mereka akan lari atau berpaling tadah atau berunding dengan musuh.
Pada zaman Rasulullah dahulu semasa perang Tabuk, akibat perjalanan yang jauh dan mencabar dari Madinah ke medan peperangan, terdapat sekumpulan orang yang tidak pergi berperang namun bukan kerana uzur, tetapi kerana mereka lebih mementingkan kebun anggur dan tamar mereka yang sedang ranum.
Kedua, langkah ini satu strategi yang salah. Sekiranya pun kita ingin berunding dengan pihak lawan, kita perlu berunding dari posisi yang kuat dan bukan dari posisi yang lemah.
Apabila kita belum lagi berlawan tetapi terus mengangkat bendera putih dan memberikan isyarat kepada pihak lawan bahawa kita mahu berunding, secara tidak langsung kita memberitahu mereka bahawa kita ini terdesak.
Ini meletakkan diri kita pada posisi yang lemah untuk berunding. Semua orang yang berpengalaman berunding tahu, dalam situasi sebegini kita akan rugi dalam rundingan.
Sepatutnya kita menguatkan diri kita dan kita lawan seteru kita dahulu. Apabila kita kuat, kita akan mempunyai lebih banyak pilihan sama ada mahu berunding atau tidak.
Jika mereka atau lawan kita mahu berunding dengan kita pada ketika itu, maka posisi kita untuk berunding akan menjadi lebih baik.
Ketiga, sekiranya ramai ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti kepada PH dan kerajaan, maka pembangkang akan menjadi lemah dan negara kita mungkin menuju ke arah sistem satu parti yang menyebelahi kerajaan.
Ini tidak baik untuk rakyat dan negara kerana tiada semak imbang yang kuat dan efektif daripada pembangkang. Ini akan menyebabkan lebih banyak masalah salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan.
Sebelum ini saya pernah berkata bahawa BN kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu sebab orang muda tidak sokong BN.
Sebenarnya ada satu lagi sebab besar mengapa kita kalah pilihan raya umum yang lepas: kita kalah sebab orang Melayu berpecah teruk.
Sejak dahulu pun orang Melayu berpecah, namun ia tidaklah seteruk PRU14 yang lalu yang menyaksikan undi Melayu pecah kepada lima parti: Umno, PAS, PKR, Bersatu dan Amanah. Ini menguntungkan PH terutamanya DAP.
Selama ini kita boleh bertahan dalam pilihan raya jika undi Melayu berpecah tiga, tetapi bukan berpecah lima. Kita juga kalah sebab pertandingan tiga penjuru BN-PAS-PH merugikan kita sebab 75% undi Melayu yang tidak menyokong PH berpecah pula kepada dua antara Umno dan PAS.
Sekiranya undi ini tidak pecah, mustahil PH boleh menewaskan kita. Jika tidak ada pertandingan tiga penjuru dalam PRU14 yang lepas, BN dan PAS berkemungkinan besar akan menang di tambahan 20 kerusi Parlimen dan boleh berjaya membentuk Kerajaan.
Sebab inilah saya selalu berkata perkara utama yang perlu kita selesaikan terlebih dahulu untuk merampas kembali kerajaan ialah menyatukan orang Melayu dan Islam.
Jika 75% orang Melayu ini bersatu, kita akan berjaya. Walaupun PAS selalu bermain tarik tali dengan kita, namun saya pasti mereka pun sebenarnya sedar akan perkara ini.
Berunding dengan pihak lawan sebelum kita menguatkan diri kita dengan penyatuan dan sebelum berlawan dengan PH di arena politik terlebih dahulu adalah suatu arah yang salah, terdesak dan seolah pengecut.
Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan tidak akan tercapai dengan mengambil jalan yang mudah. Perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air memerlukan pengorbanan yang sukar dari segi masa, tenaga, harta waima nyawa.
Jika ahli-ahli Parlimen BN masuk PH dan kerajaan, mereka mungkin dijanjikan habuan atau jawatan, namun besar kemungkinan jawatan ini bukanlah jawatan yang penting dan utama dalam kerajaan sebab lebih ramai lagi ahli politik PH sedang berebut jawatan dalam kerajaan sekarang.
Oleh itu ahli Parlimen BN yang melompat parti ini akan terpaksa mengikut telunjuk parti dominan PH iaitu DAP atau puak-puak liberal dalam PKR.
Kumpulan ini tidak akan membenarkan agenda Melayu dan Islam dibawa.
Sekiranya ahli Parlimen Umno lompat masuk Bersatu pula, kumpulan di atas juga tidak akan membenarkan Bersatu menjadi terlalu kuat.
Jika semua ahli Parlimen Umno masuk Bersatu pun, ia tidak boleh menandingi jumlah ahli Parlimen DAP dan PKR. Oleh itu, agenda Melayu dan Islam akan terkubur jua.
Apabila PH menang PRU14 yang lepas, ramai juga orang Melayu yang bersorak. Mereka sebenarnya menang sorak, namun kampung tergadai.
Yang menang bersorak itu ialah parti Bersatu dan pemimpin Melayu PKR; yang tergadai itu ialah semua orang Melayu.
Adakah kini kita mahu menyertai mereka yang bersorak ini dan menggadaikan orang Melayu lagi? – 14 Disember, 2018.
* Isham Jalil, marhaen Umno.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen