MAHB saman AirAsia tuntut RM36.11 juta, menteri minta bincang


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pengangkutan Anthony Loke meminta MAHB dan AirAsia mencari penyelesaian berhemah dan harmoni dalam tuntutan RM36.11 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Disember, 2018.

MALAYSIA Airport Holdings Berhad (MAHB) dan AirAsia perlu menyelesaikan saman tuntutan caj perkhidmatan pelanggan (PSC) tidak berbayar secara berhemah, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke kepada kedua-dua pihak itu.

Katanya, kementerian akan membantu untuk cuba mengurangkan ketegangan antara kedua-dua pihak, tetapi mahu keduanya mencapai persetujuan bersama.

“Kami akan cuba mengurangkan ketegangan antara MAHB dan AirAsia. Sangat bagus jika kedua-dua pihak dapat mencari penyelesaian bersama yang berhemah.”

“Saya sudah memaklumkan kepada MAHB dan AirAsia untuk menyelesaikannya dengan berhemah dan harmoni,” kata Loke ketika diminta mengulas tuntutan itu.

MAHB menyaman AirAsia Bhd (AAB) dan AirAsiaX Bhd (AAX) menuntut bayaran RM36.11 juta bayaran PSC tidak berbayar sejak Julai lalu.

MAHB mendakwa AAB berhutang sebanyak RM9.4 juta, manakala AAX sebanyak RM26.7 juta.

Menurut laporan The Edge Markets, syarikat penerbangan itu enggan mengenakan beza bayaran sebanyak RM23 PSC yang naik kepada RM73 sejak awal tahun ini, atas alasan yang Lapangan Terbang Kuala Lumpur Ke-2 (klia2) adalah lapangan terbang kos rendah dan PSC perlu menggambarkan perkhidmatan yang ditawarkan di lapangan terbang tersebut.

Syarikat penerbangan mengutip PSC daripada penumpang yang berlepas, dan kemudiannya memberikan kutipan tersebut kepada MAHB.

Kumpulan AirAsia berkata mereka akan mencabar tuntutan MAHB yang dakwanya dibuat tanpa ada justifikasi. – 13 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen