Pemimpin Umno Sabah keluar parti sebab duit, kata Annuar Musa


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata masalah kewangan menjadi punca beberapa ahli Parlimen di Sabah bertindak keluar parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2018.

BEBERAPA pemimpin Umno di Sabah yang berhasrat menyertai parti kerajaan berbuat demikian untuk mendapatkan peruntukan, kata setiausaha agungnya Annuar Musa.

Beliau berkata demikian ketika mengesahkan laporan The Malaysian Insight bahawa empat ahli Parlimen Umno Sabah akan keluar parti untuk menyertai parti kerajaan.

Jelasnya, pemimpin berkenaan menghadapi masalah kewangan kerana Umno bukan lagi parti pemerintah di Sabah.

“Rumusan saya buat politik di Sabah agak unik dan agak tersendiri apa yang saya selami mereka mahu bersama dengan yang berkuasa kerana pelbagai perkara termasuk peruntukan dan kewangan.

“Dan kita Umno terpaksa berterus terang kalau bercakap soal wang kita tidak ada wang. Malah semua akaun kita dibekukan. 

“Jadi apa pun perkara berkaitan soal wang kita tidak dapat berbuat banyak,” kata Annuar ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu turut mendedahkan berlaku pertemuan di antara pemimpin Umno Sabah dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada hujung minggu lalu di Putrajaya. 

“Saya juga tahu beberapa pimpinan Umno Sabah telah dijemput ke pejabat perdana menteri dan diadakan pertemuan mereka dengan perdana menteri di Putrajaya,” kata Annuar. 

Beliau turut berkata, Umno tiada sebarang halangan sekiranya terdapat wakil rakyat parti itu yang mahu meninggalkan Umno dan menyertai parti lain.

“Umno tidak ada sebarang ikatan, sekatan seperti parti lain. Kita tidak ada kontrak atau baiah.

“Tetapi mereka tidak boleh heret Umbo Sabah kerana masa depan Umno di Sabah hak kepimpinan Umno dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia,” katanya.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan empat ahli Parlimen Umno Sabah dijangka akan mengumumkan keluar parti hari ini untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan.

Sumber menyebut, pengerusinya Hajiji Noor dijangka akan turut membuat pengumuman untuk membubarkan Umno Sabah. – 11 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Nuar tanya sikit siapa yang mulakan permainan duit ni bukan kah awak diantara yang selalu melaung laungkan cogan kata bos keparat lama awak tu "CASH IS KING" sebelum nak kutuk orang lihat la muka sendiri kat cermin dulu.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan