EMPAT ahli Parlimen Umno dari Sabah dijangka akan mengumumkan keluar parti hari ini untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan, kata sumber.
Sumber berkata, pengerusinya Hajiji Noor dijangka akan turut membuat pengumuman untuk membubarkan Umno Sabah.
“Kalau tiada apa-apa halangan, (hari ini) Hajiji akan umum,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Dalam pilihan raya umum Mei lalu, Umno Sabah hanya memenangi lapan kerusi Parlimen daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri itu.
Dua ahli Parlimen Umno, Anifah Aman (Kimanis) dan ahli Rozman Isli (Labuan) bertindak keluar parti masing-masing pada September dan Oktober lalu.
Anak Musa Aman, Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez sehingga kini masih belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan mempunyai masa sehingga 15 Januari depan untuk berbuat demikian.
Umno kini mempunyai lima ahli Parlimen dari Sabah iaitu Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Zakaria Mohd Edris (Libaran), dan Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan).
Menurut sumber, Bung Mokhtar dikatakan tidak akan mengikut rakan-rakannya meninggalkan parti dan memilih untuk kekal bersama Umno.
Difahamkan ahli-ahli Parlimen Umno ini juga tidak akan menyertai Warisan yang menerajui kerajaan negeri Sabah ketika ini.
Jelas sumber, langkah tersebut terpaksa diambil ekoran bebanan kewangan yang dihadapi oleh ahli-ahli Parlimen tersebut untuk berkhidmat di kawasan masing-masing.
Barisan Nasional (BN) Sabah sudahpun dibubarkan apabila Umno negeri itu bersama tiga parti tempatan lain menubuhkan blok pembangkang baharu, Gabungan Bersatu Sabah (GBS).
Tiga lagi parti dalam GBS ialah Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Gabungan itu dipimpin pengerusi sementara Joseph Pairin Kitingan. – 11 Disember, 2018.
Komen