Dr Mahathir jawab TMJ, kerajaan bukan orang luar


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan persekutuan bukan orang luar dalam isu tersebut dan bertanggungjawab ke atas segala perkara di dalam negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Disember, 2018.

PERDANA menteri menangkis dakwaan Tunku Mahkota Johor bahawa kerajaan persekutuan tidak berkuasa ke atas Pulau Kukup yang ditukar status menjadi tanah kesultanan negeri itu.

Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan persekutuan bukan orang luar dalam isu tersebut dan bertanggungjawab ke atas segala perkara di dalam negara, lapor The Star.

“Rakyat Malaysia bukan orang luar. Kerajaan persekutuan juga bukan orang luar. Kami bertanggungjawab ke atas segala perkara dalam negara,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Beliau menjawab kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam bahawa kerajaan persekutuan tidak berkuasa untuk campur tangan dalam isu status tanah pulau berkenaan.

Tunku Ismail berkata pendirian Kabinet yang dinyatakan menteri, Dr Xavier Jayakumer berhubung isu Pulau Kukup hanyalah satu jenaka.

Beliau mengulas kenyataan menteri air, tanah dan sumber asli itu berhubung keputusan Kabinet supaya Pulau Kukup kekal sebagai taman negara.

Putera raja itu juga mempersoalkan sekiranya menteri tersebut faham bidang kuasanya.

“Pernah dengar mengenai enakmen negeri? Mana ada surat atau menteri boleh campur tangan dengan Perlembagaan Negeri Johor.

“Tanah, agama dan air adalah kuasa negeri. Surat ini satu jenaka. Terima kasih,” katanya dalam satu coretan di Twitter, mengulas kenyataan Xavier.

Tunku Ismail juga menegaskan, bapanya sudah menandatangani surat yang menjamin status Pulau Kukup sebagai taman negara.

“Saya tidak faham motif menteri mengeluarkan kenyataan ini kerana sudah ada satu surat kerajaan negeri Johor ditandatangani Ke bawah Duli Tuanku bahawa penggunaan dan perlindungan Pulau Kukup kekal sebagai taman negara,” katanya.

Dr Mahathir pula ketika mengulas isu tersebut menegaskan Putrajaya tidak mahu melihat Pulau Kukup dibangunkan.

Katanya, status pulau tersebut sebagai taman negara perlu dikekalkan dan berharap kerajaan Johor menerima keputusan kerajaan persekutuan.

Status Pulau Kukup sebagai taman negara itu menjadi perhatian ekoran tindakan kerajaan negeri mewartakan kawasan itu sebagai tanah kesultanan. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen