Dituduh langgar undang-undang buruh, Media Prima tangguh MSS


Andrew Chin

Media Prima Berhad kini menangguhkan pelaksanaan MSS kerana dituduh melanggar undang-undang buruh. – Gambar mediaprima.com, 10 Disember, 2018.

SYARIKAT media terbesar negara, Media Prima Bhd, telah menangguh rancangan untuk menawarkan skim perpisahan bersama (MSS) kepada pekerjanya selepas didakwa melanggar beberapa peruntukan dalam undang-undang buruh, kata sumber.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa perkara itu kini dirujuk kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan selepas dakwaan pelanggaran diadu beberapa kesatuan syarikat itu.

“Skim ini dihentikan buat sementara waktu. Fasa pertama pemberhentian yang dijadualkan minggu terakhir November tidak berlaku.

“Setakat yang saya ketahui, kes ini telah dibawa ke Jabatan Perhubungan Perusahaan, saya percaya bahawa MSS tidak akan dilaksanakan sehingga hasil perbincangan selesai di sana. Sekarang semuanya tetap sama,” kata seorang sumber.

The Malaysian Insight pertama kali melaporkan pada 23 November mengenai rancangan Media Prima menawarkan MSS kepada 300 kakitangan di tiga stesen televisyennya dalam usaha merendahkan kerugian kewangan.

Tawaran syarikat itu, yang mengendalikan empat stesen televisyen bebas dan tiga penerbitan akhbar, adalah susulan kepada skim sebelumnya bagi mengurangkan tenaga kerjanya. Sebelum ini ia menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) dan cuti rehat kerjaya (CBL) kepada kakitangan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa pengurusan tertinggi Media Prima membuat tawaran kepada 1,100 kakitangan dalam tiga rangkaian televisyen - NTV7, 8TV dan TV3.

Amalan MSS itu akan dilaksanakan dengan dua peringkat, dengan yang pertama bermula pada minggu terakhir bulan November, dan sekali lagi pada bulan Jun tahun depan.

Sasarannya adalah untuk mengurangkan tenaga kerja dari 1,100 hingga 800 orang.

Bagi pampasan, pekerja yang diberhentikan akan menerima bayaran gaji sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan.

Tawaran MSS kemudiannya menarik perhatian Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran apabila Kesatuan Pekerja Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan Kesatuan Eksekutif TV3 (KESTMB) menyerahkan memorandum kepadanya bagi membantah tindakan Media Prima untuk memberhentikan pekerja.

Kesatuan-kesatuan tersebut menyeru agar pihak kementerian campur tangan bagi menghentikan langkah mengurangkan pekerja, yang mereka katakan tidak dijalankan menurut undang-undang.

Di antara tuduhan yang disebut dalam memorandum itu, pengurusan Media Prima tidak membincangkan perkara itu dengan kesatuan sebelum mengumumkan pemberhentian kerja. – 10 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen