PARTI dalam Pakatan Harapan (PH) tidak harus gelisah apabila kerajaan memberi tumpuan kepada tuntutan masyarakat termasuk orang Melayu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Anwar juga berharap langkah itu tidak akan menyebabkan berlaku keretakan dalam hubungan parti di antara PKR, Amanah, Bersatu, DAP.
“Saya tidak fikir rakan kita harus gelisah kalau pemimpin kerajaan hari ini rasa perlu memberikan respon positif dan memberi keyakinan kepada masyarakat kita termasuk orang Melayu, mereka ada tempat.
“PH tidak akan sisih dan abaikan tuntutan semua kaum dan hak rakyat negara ini. Saya hanya seorang yang menyokong teguh PH dan pimpinan Dr Mahathir supaya perubahan ini berlaku dengan aman dan tidak beri ruang kepada apa-apa kemungkinan retaknya PH,” kata Anwar lagi.
Anwar menyatakan demikian pada malam tadi, sehari selepas perhimpunan besar-besaran oleh komuniti Melayu yang membantah ICERD di Dataran Merdeka.
Penganalisis melihat, kegelisahan masyarakat Melayu ke atas isu ekonomi dieksploitasi parti pembangkang Melayu-Islam PAS dan Umno dan membawa kepada perhimpunan besar itu.
Perhimpunan anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dengan kerjasama pembangkang itu menyaksikan lebih 50,000 peserta turun berhimpun secara aman.
Anwar seterusnya berkata, PH perlu tangani kegelisahan masyarakat Melayu yang ditunjukkan dalam demonstrasi itu dengan sabar dan bijaksana.
Namun pada masa sama, PH juga perlu menyempurnakan cita-cita parti itu, katanya.
“Saya juga gesa rakan pimpinan, supaya peka dan tahu bahawa harapan menggunung itu perlu dikejar dan disempurnakan.
“Kalau ada suara gelisah rakyat perlu ditangani dengan baik, sabar dan bijaksana, tidak gopoh dan sabar.
“Pertama kali dapat tangani demonstrasi besar-besaran tapi dengan penuh kebijaksanaan dan memenuhi wadah demokrasi baru bawah pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Katanya lagi, pentadbiran PH juga perlu menangani keresahan setiap komuniti yang ada demi kestabilan negara.
“Bila kita bertarung dulu sebelum pilihan raya kita dianggap perlu memenuhi rasa gelisah dan resah di kalangan golongan minoriti Cina, India, dan suku kaum lain.
“Setelah kita perintah ada keresahan rakyat mewakili Melayu majoriti. Saya yakin kalau ambil pendekatan terbuka kita akan tahu Malaysia akan aman, teguh, dan bersatu jika kita mampu memenuhi hasrat dan aspirasi majoriti Melayu dan kumpulan lain Cina, India dan suku kaum lain,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis makan malam amal PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Dalam majlis sama, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Menteri Kewangan menumpukan kepada usaha membantu golongan miskin dan daif menangani tekanan dari kenaikan kos sara hidup. – 10 Disember, 2018.
Komen