Firefly minta Putrajaya bantu dapatkan semula hak mendarat di Changi


Julia Yeow

Bermula 1 Disember, Firefly menggantung semua penerbangan terusnya ke Singapura dari Subang, Ipoh dan Kuantan susulan gagal mendapatkan kelulusan untuk mendarat di Lapangan Terbang Seletar. – Gambar EPA, 6 Disember, 2018.

FIREFLY meminta campur tangan Putrajaya dalam mendapatkan semula hak pendaratannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, ketika perbalahan ruang angkasa antara dua kerajaan itu semakin tegang.

Perkhidmatan penerbangan bagi perjalanan jarak dekat untuk syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines itu mengalami kerugian teruk akibat penggantungan semua penerbangannya ke Singapura sejak 1 Disember lalu, selepas ia gagal mendapatkan kelulusan penerbangan untuk mendarat di Lapangan Terbang Seletar.

Syarikat itu yang selama ini terbang terus ke lapangan terbang Changi dari Subang Jaya, Kuantan dan Ipoh, turut dimaklumkan bahawa tempat pendaratannya di Changi sudah dijual kepada syarikat penerbangan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Airline Ignatius Ong berkata syarikat itu merayu Putrajaya untuk campur tangan dan cuba mendapatkan semula tapak pendaratannya di Changi sehingga isu dengan Seletar dapat diselesaikan.

“Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk membantu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu sama ada Putrajaya sudah memberi respons terhadap rayuan syarikat itu, atau tidak.

Firefly sepatutnya menjadi syarikat penerbangan komersial yang pertama memulakan operasi di terminal Seletar, yang sesuai untuk pesawat turbo-prop dan direka bagi mengendalikan 700,000 penumpang setahun.

Firefly adalah satu-satunya syarikat yang pada masa ini beroperasi dengan pesawat itu bagi laluan antara Lapangan Terbang Changi dan Subang, Ipoh dan Kuantan. Sebanyak 20 penerbangan disediakan setiap hari ke Changi.

Ong sebelum ini berkata hampir 13,000 penumpang terjejas dan setakat inihampir separuh daripada penumpang terbabit menerima tawaran Firefly untuk memindahkan penerbangan ke pesawat Malaysia Airlines ke Singapura, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Selebihnya dipulangkan semula bayaran tiket mereka.

Ong enggan mendedahkan kos yang terbabit dalam membayar semula tiket itu, tetapi berkata hampir semua penerbangan dari Ipoh dan Kuantan ke Changi dikembalikan kerana Malaysia Airlines tidak melakukan penerbangan langsung dari dua lokasi itu. – 6 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen