13,000 penumpang Firefly terjejas akibat kelewatan di terminal baharu Singapura


Julia Yeow

Firefly sepatutnya menjadi syarikat penerbangan komersial yang pertama memulakan operasi di terminal Seletar, lapangan terbang baharu di Singapura. – Gambar EPA, 22 November, 2018.

PENGGANTUNGAN semua penerbangan Firefly ke Singapura bermula 1 Disember akan menjejaskan hampir 13,000 penumpang, kata ketua pegawai eksekutif syarikat penerbangan bajet itu, Ignatius Ong.

Firefly Airlines pada asalnya dijadualkan beroperasi di terminal baru di Singapura di lapangan terbang Seletar penghujung 2018, tetapi Ong berkata syarikat itu menerima pengesahan semalam bahawa kelulusan berkaitan masih belum diterima.

Beliau berkata syarikat itu kemudian memutuskan untuk mengaktifkan notis penggantungan, bagi melindungi kepentingan pelanggannya.

“Berdasarkan kepada tiket yang kami jual dari 1 Disember hingga tahun depan, kira-kira 12,000 hingga 13,000 penumpang akan terjejas,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ong berkata penggantungan itu tidak jelas kerana pihak berkuasa Singapura belum memberi petunjuk berapa lama penangguhan itu akan berlaku, dan Firefly “tidak ada pelan B” berkaitan dengan menyambung penerbangannya ke Singapura.

Katanya, beliau menghubungi pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Changi untuk memohon supaya syarikat itu terus beroperasi di lapangan terbang itu sehingga isu dengan Seletar dapat diselesaikan.

Bagaimanapun katanya, beliau dimaklumkan bahawa slot pendaratan di Changi tiada lagi yang kosong kerana sudah memberikannya kepada syarikat lain.

“Ia terpulang kepada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura sekarang,” katanya.

Ong berkata penumpang bagi laluan Subang-Singapura, yang juga salah satu laluan paling popular bagi syarikat itu, akan dipindahkan ke penerbangan Malaysia Airlines, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Ia bergantung pada sama ada penumpang mahu begitu atau tidak. Ada yang tidak mahu kerana mereka tidak mahu ke KLIA.

“Kami akan menghantar SMS kepada semua penumpang, dan jika ada yang menghubungi semula, kami akan cuba selesaikan sebarang isu.”

Ong bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerugian dijangka ditanggung syarikat itu akibat penggantungan berkenaan, berkata ia akan “menjejaskan keuntungan yang banyak”.

Firefly sepatutnya menjadi syarikat penerbangan komersial yang pertama memulakan operasi di terminal Seletar, yang sesuai untuk pesawat turbo-prop dan direka bagi mengendalikan 700,000 penumpang setahun.

Firefly, anak syarikat Malaysia Airlines, adalah satu-satunya syarikat yang pada masa ini beroperasi dengan pesawat itu bagi laluan antara Lapangan Terbang Changi dan Subang, Ipoh dan Kuantan. Sebanyak 20 penerbangan disediakan setiap hari. – 22 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen