Nurul Izzah ganti Akmal Nasir dalam PAC


Nurul Izzah adalah salah seorang daripada tiga ahli Parlimen yang baharu dilantik menggantikan tiga ahli lama PAC. Beliau menggantikan Akmal Nasrullah Mohd Nasir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar adalah antara tiga ahli Parlimen baharu dilantik menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), menggantikan ahli sedia ada.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan itu menggantikan tempat Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), menurut Penyata Khas Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat ke-14 yang diedar kepada ahli Dewan Rakyat, hari ini.

Dua lagi ahli baharu ialah William Leong (PH-Selayang) menggantikan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo), dan Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) menggantikan Hasan Arifin (BN-Rompin).

PAC dengan 12 ahli ketika ini dipengerusikan oleh Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran), manakala naib pengerusinya Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur). 

Ahli PAC yang lain ialah Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Robert Lawson Chuan (GPS-Betong), Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) Wong Chen (PH-Subang), Steven Chong Shiau Yoon (PH-Tebrau), Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), dan Wong Shu Qi (PH-Kluang).

Sementara itu, Ronald ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen berkata ia hanya melibatkan pertukaran individu dalam parti yang sama.

“Selagi mana ia diputuskan Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat, ia dianggap sah,” katanya. – Bernama, 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen