Waytha Moorthy akan disiasat, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Waytha Moorthy dijangka memberikan keterangan kepada polis pukul 7 petang ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

MENTERI Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengesahkan P Waytha Moorty akan disiasat atas kenyataan yang beliau buat berhubung rusuhan kuil Hindu di Subang Jaya, minggu lalu.

“Saya difahamkan pihak polis memanggil Waytha Moorthy, atas faktor mungkin kenyataan dia dibuat mungkin waktu insiden itu berlaku,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun menjelaskan menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal perpaduan itu dipanggil untuk diambil keterangannya berhubung kenyataan mengenai insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman itu.

Waytha Moorthy dijangka memberikan keterangan kepada polis pukul 7 petang ini.

“Siasatan sama ada di bawah Kanun Keseksaan atau Akta Hasutan,” kata Fuzi Harun pada sidang media yang sama.

Muhyiddin dan Fuzi sebelum itu menghadiri mesyuarat bulanan antara Polis Diraja Malaysia dengan menteri dalam negeri.

Waytha Moorthy tiba di Bukit Aman kira-kira jam 8.05 malam menaiki kereta Toyota Camry berwarna putih.

Beliau juga sempat melambai kepada pemberita yang menunggu di perkarangan pintu masuk ibu pejabat polis berkenaan.

Awal hari ini, Waytha Moorthy memberi tempoh 24 jam kepada Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden Perkasa Ibrahim Ali untuk menarik balik kenyataan fitnah kononnya beliau menghina masyarakat Melayu dan Islam.

Beliau turut mengugut akan menyaman Tajuddin dan Ibrahim di mahkamah sekiranya mereka gagal berbuat demikian.

Hujung minggu lalu, dalam satu rapat umum membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Perlis, Tajuddin menuduh Waytha Moorthy seorang rasis.

Ibrahim pula menyifatkan Waytha Moorthy “besar kepala” dalam satu ucapan di Kuala Lumpur pada Ahad. Beliau turut menggesa perdana menteri menggugurkan Waytha Moorthy daripada barisan jemaah menteri.

Menurut Waytha Moorthy, kenyataan dua pemimpin itu tidak membantu menyatukan negara dan tidak sesuai untuk Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Pada akhir Oktober lepas, menjawab soalan di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Putrajaya komited mengesahkan enam triti antarabangsa termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Kenyataannya menyusul ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada akhir September, bahawa kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.

Susulan kenyataan Waytha Moorthy itu, Pemuda Umno dan Pemuda PAS menganjurkan Himpunan Bantah ICERD di Kuala Lumpur pada 4 November.

Ia disusuli bantahan sama di negeri-negeri, termasuk Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak, Perak yang disertai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sebuah rakaman video kenyataan Waytha Moorthy yang dibuat di luar negara mengenai semasa beliau mengetuai kempen Hindraf untuk hak kaum India di Malaysia juga disebarkan semula.

Dr Mahathir bagaimanapun sekurang-kurangnya dua kali mempertahankan Waytha Moorthy apabila berkata senator itu sudah berubah dan beliau puas hati dengan prestasinya sebagai menteri. – 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen