Waytha Moorthy mahu saman Tajuddin Rahman, Ibrahim Ali


Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy mahu Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden Perkasa Ibrahim Ali untuk menarik balik kenyataan fitnah kononnya beliau menghina masyarakat Melayu dan Islam dalma tempoh 24 jam. Jika tidak, tindakan saman akan diambil, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2018.

P Waytha Moorthy memberi tempoh 24 jam kepada Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden Perkasa Ibrahim Ali untuk menarik balik kenyataan fitnah kononnya beliau menghina masyarakat Melayu dan Islam.

Sekiranya gagal berbuat demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengugut akan menyaman Tajuddin dan Ibrahim di mahkamah.

“Saya memilih saluran ini kerana saya merasakan ia akan menjadi saluran terbaik untuk membersihkan nama saya daripada tohmahan-tohmahan melulu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hujung minggu lalu, dalam satu rapat umum membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Perlis, Tajuddin menuduh Waytha Moorthy seorang rasis.

Ibrahim pula menyifatkan Waytha Moorthy “besar kepala” dalam satu ucapan di Kuala Lumpur pada Ahad. Beliau turut menggesa perdana menteri menggugurkan Waytha Moorthy daripada barisan jemaah menteri.

Menurut Waytha Moorthy, kenyataan dua pemimpin itu tidak membantu menyatukan negara dan tidak sesuai untuk Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Senator itu berkata beliau jadi sasaran sejak menjawab soalan di Dewan Rakyat mengenai ICERD sebulan yang lalu.

Pada akhir Oktober lepas, menjawab soalan di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Putrajaya komited mengesahkan enam triti antarabangsa termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Kenyataannya menyusul ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa Bersatu pada akhir September, bahawa kerajaan baharu Malaysia akan mengiktiraf semua baki instrumen badan dunia itu berkaitan perlindungan hak asasi manusia.

Susulan kenyataan Waytha Moorthy itu, Pemuda Umno dan Pemuda PAS menganjurkan Himpunan Bantah ICERD di Kuala Lumpur pada 4 November.

Ia disusuli bantahan sama di negeri-negeri, termasuk Himpunan Perpaduan Ummah di Pasir Salak, Perak yang disertai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sebuah rakaman video kenyataan Waytha Moorthy yang dibuat di luar negara mengenai semasa beliau mengetuai kempen Hindraf untuk hak kaum India di Malaysia juga disebarkan semula.

Dr Mahathir bagaimanapun sekurang-kurangnya dua kali mempertahankan Waytha Moorthy apabila berkata senator itu sudah berubah dan beliau puas hati dengan prestasinya sebagai menteri. – 4 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen