Sultan Mizan pecah rekod Sukan SEA


Sultan Mizan yang memakai jersi nombor 111 memulakan perlumbaan sejauh 80km pada 3 pagi tadi di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, Terengganu. – Gambar Bernama.com, 20 Ogos, 2017.

SULTAN Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan kuda Rtes Annaversary bukan saja berjaya meraih pingat emas tetapi juga mencipta rekod baharu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara sukan kuda lasak kategori individu.

Baginda yang memakai jersi nombor 111 memulakan perlumbaan sejauh 80 kilometer (km) pada 3 pagi tadi di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, Terengganu dan membenam rekod tiga jam lebih awal untuk menamatkan perlumbaan.

Baginda yang tiba di garisan penamat pada 8.18 pagi dengan catatan masa tiga jam 48 minit 38 saat, meleburkan rekod atlet Malaysia iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Mohd Sulaiman Muda yang mencatatkan enam jam 26 minit.

Jumlah purata kelajuan ialah 20:994 kilometer sejam.

Lebih istimewa penyertaan baginda adalah pertama kali dalam sejarah Sukan SEA.

Ketika ditemu bual selepas selesai acara itu, baginda melahirkan rasa syukur dan gembira atas kemenangan Malaysia dan menyifatkan ia hasil kerjasama semua pihak.

Sultan Mizan sempat berkongsi keserasian bersama kuda dari Australia itu dan dengan riak wajah ceria baginda menyatakan keserasian mereka wujud sejak lapan tahun lalu hingga mampu melakar beberapa kemenangan dalam pelbagai kejohanan peringkat dunia sebelum ini.

Bagi menghadapi kejohanan tersebut baginda berlatih setiap hari tanpa mengambil mudah setiap cabaran yang bakal dihadapi walaupun TIEP umpama “padang permainan” baginda.

“Untuk memasuki sukan ini ada beberapa mata yang perlu diambil kira sebelum terpilih untuk mewakili Malaysia…keinginan untuk mewakili negara ini berlaku secara kebetulan ekoran saya juga menceburi sukan ini.

Tuanku turut berkongsi resipi sepanjang perlumbaan itu, dengan mengisi masa berbual bersama atlet Malaysia yang lain kerana masing-masing sentiasa seiring sejak awal pelepasan.

“Saya rasa bersyukur kepada Allah kerana semua selamat dan acara ini dapat dilakukan di negeri Terengganu, serta mendapat sambutan orang ramai,” titah baginda.

Selain itu, baginda mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia, pengurus pasukan Che Mat Din Ismail, kesemua penunggang, kru groom, pembantu veterinar, pemasang ladam kuda dan semua yang terlibat bertungkus-lumus untuk memberi kejayaan kepada pasukan baginda.

Sultan Mizan bertitah pada Mei tahun depan, Terengganu bakal mengadakan Kejohanan Piala Kuda Lasak Asia dan baginda melahirkan harapan untuk menjadikan Terengganu sebagai lokasi perlumbaan Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia pada masa akan datang.

Baginda turut berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri kerana menyokong usaha mewujudkan sukan kuda lasak di negeri ini. – Bernama, 20 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen