Polis akan siasat ucapan Ibrahim Ali pada perhimpunan, kata Muhyiddin 


Christopher Rabin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya memberi jaminan tindakan akan diambil sekiranya ucapan Ibrahim menyalahi undang-undang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2018

MUHYIDDIN Yassin berkata polis akan menyiasat ucapan yang dibuat oleh Presiden Perkasa Ibrahim Ali dan akan mengambil tindakan yang perlu sekiranya ia didapati mencetuskan ketegangan. 

Menteri dalam negeri itu memberi jaminan itu selepas pemimpin kumpulan pendesak Melayu berkenaan berucap sebelum perhimpunan agung tahunannya.    

“Polis akan menyiasat kenyataan yang dibuat oleh Presiden Perkasa Ibrahim Ali. 

“Saya akan serahkan kepada polis untuk melihat apa sahaja kenyataan yang dibuat oleh Ibrahim Ali atau sesiapa sahaja di dalam Perkasa,” katanya. 

Katanya, Perkasa sebelum ini sudah berjumpa dengan pihak berkuasa dan bersetuju untuk mematuhi peraturan pada perhimpunan mereka. 

“Mereka sudah pun menemui pihak kita dan bersetuju yang mereka tidak akan lakukan apa yang tidak sepatutnya, seperti kenyataan yang akan mencetuskan lebih banyak masalah,” katanya. 

Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, polis turut hadir pada perhimpunan berkenaan dan terserah kepada mereka untuk mengambil tindakan. 

“Walau apa pun, polis ada di sana untuk memantau dan sekarang, mereka diberi lampu hijau untuk melakukan apa yang perlu,” katanya. 

Terdahulu hari ini, Ibrahim menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

“Lantik orang Melayu Pakatan Harapan. Ramai antara mereka yang berkebolehan. Kerajaan sudah beri mereka ruang yang terlalu banyak dan kini mereka semakin besar kepala.

“Bagaimana nak mengajar orang berkepala besar? Anda akan lihat nanti,” kata Ibrahim kepada wartawan, selepas majlis yang dinamakan Himpunan Jihad Perkasa di Kampung Baru hari ini. – 2 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen